Kerajaan tanggung RM51.4 bilion beban 1MDB, RM20.1 bilion lagi masih belum selesai

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan Persekutuan mendedahkan keseluruhan tanggungan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini mencecah RM51.4 bilion, dengan sebahagian komitmen masih perlu dilunaskan sehingga tahun 2039.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, secara keseluruhan kerajaan menanggung obligasi berjumlah RM51.4 bilion, meliputi komitmen yang telah dibayar serta baki yang masih perlu dilunaskan lapor Astro Awani.

Menurut beliau, jumlah RM42.5 bilion yang telah dibayar itu merangkumi pelunasan prinsipal, faedah, kos guaman, kos operasi dan komitmen lain berkaitan syarikat pelaburan strategik berkenaan.

Katanya, kerajaan juga masih menanggung Nota Jangka Sederhana Islam (Sukuk Islamic Medium Term Notes) yang dijamin kerajaan berjumlah RM8.9 bilion, terdiri daripada bayaran prinsipal sebanyak RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion yang akan matang pada 2039.

“Secara keseluruhan, tanggungan 1MDB yang telah dan masih perlu ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM51.4 bilion,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan sama, Liew berkata usaha mendapatkan semula aset dan dana berkaitan 1MDB telah berjaya membawa pulangan sebanyak RM31.3 bilion kepada kerajaan setakat ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa sekiranya tiada lagi dana berjaya dipulangkan pada masa hadapan, kerajaan masih perlu menanggung baki RM20.1 bilion daripada keseluruhan obligasi berkenaan.

“Setakat ini dana berkaitan 1MDB yang berjaya diperoleh semula berjumlah RM31.3 bilion.

“Namun, sekiranya tiada lagi pemulangan dana pada masa hadapan, kerajaan masih perlu menanggung baki sebanyak RM20.1 bilion daripada keseluruhan obligasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chong Chieng Jen yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan jumlah keseluruhan hutang 1MDB yang ditanggung Kerajaan Persekutuan serta jumlah yang telah dibayar bagi melunaskan komitmen itu setakat ini.

Baca juga: Anwar rayu pengundi Johor beri peluang kepada PH, janji pertahan kepentingan rakyat