“Mereka tak gentar” – Anwar dakwa ada ugutan terhadap Tok Batin menjelang PRN Johor

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa wujud ugutan terhadap Tok Batin dan masyarakat Orang Asli menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Pakatan Harapan itu kemudian menyifatkan kehadiran mereka pada program kempen di Rengit sebagai bukti bahawa mereka tidak gentar dengan taktik berkenaan.

Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata beliau hadir ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit bersama calon Pakatan Harapan (PH), Haji Mohamad Yazid, bagi bertemu masyarakat Orang Asli dan penduduk setempat.

Menurut beliau, sambutan yang diterima amat menggalakkan walaupun, menurut dakwanya, terdapat pihak yang mengugut Tok Batin serta penduduk Orang Asli supaya tidak menyertai program berkenaan.

“Alhamdulillah, ramai yang hadir untuk bersama HARAPAN meskipun ada yang memberi ugutan pada Tok Batin dan penduduk Orang Asli di sini.

“Namun malam ini mereka membuktikan bahawa mereka tidak sama sekali gentar dengan taktik kotor dan lapuk untuk membungkam suara masyarakat Orang Asli,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Anwar berkata beliau menerima pelbagai aduan daripada penduduk, khususnya berkaitan kemudahan asas yang didakwa masih belum memuaskan.

Beliau mendakwa antara isu utama yang dibangkitkan ialah masalah bekalan air yang menurutnya masih gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Anwar menyeru rakyat Johor memberikan mandat kepada Pakatan Harapan pada hari pengundian Sabtu ini.

Katanya, PH bersedia memikul amanah mentadbir negeri dengan berpandukan rekod pentadbiran di peringkat Persekutuan yang menurutnya telah berjaya menyelesaikan pelbagai isu rakyat serta meneruskan projek-projek yang sebelum ini tertangguh, termasuk di Johor.

Beliau turut mengajak pengundi menyokong PH bagi membawa perubahan dan memacu Johor ke arah masa depan yang lebih baik serta adil untuk semua.

Baca juga: Anwar rayu pengundi Johor beri peluang kepada PH, janji pertahan kepentingan rakyat