Ingatkan infak sate, lepas ambil terus disuruh scan QR bayar RM20

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang wanita meluahkan rasa kurang senang selepas mendakwa menjadi mangsa taktik jualan mengejut apabila seorang peniaga terus menghulurkan bungkusan sate ke tingkap keretanya sebelum meminta bayaran RM20.

Menerusi perkongsian di Threads, wanita dikenali sebagai Nurazzalina berkata kejadian itu berlaku ketika dia memandu melalui jalan keluar berhampiran simpang sebuah sekolah menuju ke sebuah bulatan.

Menurutnya, pada mulanya dia menyangka individu terbabit sedang mengagihkan makanan secara percuma atau melakukan infak kerana peniaga itu berdiri di tepi jalan sambil menahan kenderaan yang lalu.

“Saya ingat ada orang tengah infak atau nak beri makanan. Kebetulan jalan pun tak sesak, jadi saya berhentilah sekejap,” katanya.

Namun, sebaik sahaja tingkap kereta dibuka, peniaga berkenaan terus menghulurkan bungkusan makanan sambil berkata:

“Dik ambil dik, nanti transfer RM20 je. Ambil, ambil. Nanti QR bayar RM20, kalau tak bayar tak apa saya halalkan je.”

Menurut Nurazzalina, dia tergamam kerana semuanya berlaku terlalu pantas, malah peniaga itu turut mendesaknya segera mengambil makanan dengan alasan bimbang mengganggu aliran trafik.

Katanya, dia akhirnya membuat pembayaran RM20 walaupun mengakui berasa seolah-olah dipaksa dan tidak sempat bertanya mengenai harga atau kandungan makanan yang dijual.

Bungkusan tersebut mengandungi dua nasi impit, lima cucuk sate ayam dan lima cucuk sate daging.

Menjelaskan mengapa dia memilih untuk membayar, Nurazzalina berkata situasi itu membuatkan dia serba salah.

“Saya cuma nak elak perkara yang tak baik. Kalau tak ambil rasa serba salah, kalau tak bayar pula rasa bersalah. Kalau tak makan membazir sebab sate itu masih elok,” katanya.

Walaupun mengikhlaskan wang yang dibayar, dia berharap peniaga berkenaan menyedari bahawa kaedah jualan sedemikian boleh membuatkan pelanggan berasa tidak selesa dan wajar diperbaiki.

Di ruangan komen, seorang lagi netizen turut mendakwa pernah melalui pengalaman hampir sama ketika pulang berjoging.

“Hahaha aku dah terkena hari tu. Balik jogging, tiba-tiba perasan ada satu kereta buka bonet hulur barang. Aku lalu la, ingat ada apa, tiba-tiba hulur sate macam infak.

“Dah pegang, baru tahu dia menjual rupanya. RM20 pula tu. Serba salah aku. Maka, makanlah aku lepas jogging tu dengan rasa serba salah sebab terkena,” tulisnya.

Baca juga: PM Thailand hargai peranan aktif Malaysia dalam usaha damai dengan Kemboja