Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Johor hari ini menjelang penghujung kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 sebelum para pengundi menjalankan tanggungjawab mereka, esok.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, Anwar yang juga Perdana Menteri itu memaklumkan bahawa beliau terus menyemarakkan kempen di negeri tersebut untuk memastikan calon PH meraih kemenangan.
Sehubungan dengan itu, beliau merangkap Presiden PKR menyeru seluruh warga Johor untuk ikut serta dalam program diadakan di beberapa lokasi hari ini sebelum tempoh berkempen tamat pada tengah malam ini.
‘Saya sekali lagi mengajak seluruh warga Johor untuk ikut serta dalam gelombang perubahan sekali gus menjelmakan harapan baru untuk rakyat dan masa depan negeri. Johor Ke Depan. Undi HARAPAN,” katanya dalam hantaran itu.
Berdasarkan jadual yang dikongsikan Anwar dalam hantaran itu, siri jelajah beliau akan dimulakan di Tangkak menerusi program Sentuhan Sahabat Madani Bukit Gambir pada sekitar jam 3.50 petang.
Pemimpin nombor satu negara itu kemudian bergerak ke Tapak Pasar Malam di Taman Manis, Kulai pada pukul 6 petang untuk menghadiri program Sentuhan Sahabat Madani di Bukit Batu.
Siri jelajah itu diteruskan dengan program Grand Finale DUN Layang-Layang pada pukul 8.15 malam yang diadakan di padang bersebelahan dengan rangkaian restoran makanan segera Simpang Renggam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu akan menghadiri Program Grand Finale (Festival Muzik Johor Bahru) pada jam 9.30 malam dalam acara dilangsungkan di Perkarangan Perling Mall.
Kunjungan beliau berakhir di kawasan bersebelahan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Pasir Gudang untuk menghadiri Program Grand Finale Johor ke Depan, Undi Harapan PRN Johor pada jam 10.30 malam.
Baca juga: “Mereka tak gentar” – Anwar dakwa ada ugutan terhadap Tok Batin menjelang PRN Johor