“Semoga Tun terus sihat…” Anwar titip doa buat Tun Dr Mahathir sempena ulang tahun ke-101

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan selamat ulang tahun kelahiran yang ke-101 kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menerusi satu hantaran ringkas di Facebook pada Khamis, Anwar mendoakan agar Dr Mahathir terus dikurniakan kesihatan yang baik, usia yang diberkati serta rahmat daripada Allah SWT.

“Selamat ulangtahun kelahiran yang ke-101 buat Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Semoga Tun terus dilimpahi rahmat, kesihatan yang baik dan berada dalam keberkatan-Nya, Insya-Allah,” tulis beliau.

Hantaran tersebut turut disertakan dua keping gambar yang memaparkan kenangan bersama Dr Mahathir pada beberapa kesempatan berbeza.

Ucapan itu menarik perhatian warga maya memandangkan hubungan politik antara kedua-dua tokoh berkenaan pernah melalui pelbagai fasa sepanjang lebih dua dekad.

Dr Mahathir yang dilahirkan pada 10 Julai 1925 kini menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-101, sekali gus menjadikannya antara negarawan paling lama berkhidmat dan berpengaruh dalam sejarah politik Malaysia.

Baca juga: Pecutan akhir kempen PRN16, PM Anwar dijadual hadiri 5 program di Johor hari ini