Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima sambutan yang luar biasa dalam siri jelajahnya di wilayah selatan tanah air itu bersempena dengan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke -16.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, Anwar yang juga Perdana Menteri itu memaklumkan bahawa beliau mengadakan kunjungan ke beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semalam.
Siapa sangka, kunjungan beliau bertujuan untuk memberikan dukungan kepada calon-calon PH yang bertanding dalam PRN16 itu disambut dengan cukup meriah oleh masyarakat berbilang bangsa.
Sehubungan dengan itu, Anwar yang juga merupakan Presiden PKR mengucapkan terima kasih atas penerimaan serta dukungan diberikan oleh rakyat Johor kepada program-program dianjurkan PH di negeri tersebut.
“Sambutan luar biasa daripada rakyat Johor berbilang bangsa tatkala turun ke Senggarang, Rengit dan Puteri Wangsa untuk memberi dukungan kepada calon dan jentera Pakatan Harapan semalam.
“Terima kasih rakyat Johor yang terus memberi kepercayaan kepada HARAPAN. Johor Ke Depan. Undi HARAPAN.” Ujar Ahli Parlimen Tambun itu menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya.
Terdahulu, Anwar ‘turun’ ke Johor menghadiri tiga program anjuran PH semalam untuk menyantuni masyarakat setempat serta menyemarakkan lagi kempen calon parti gabungan tersebut.
Beliau kemudian kembali ke negeri itu hari ini untuk memeriahkan lima program PH menjelang penghujung kempen sebagai pecutan akhir sebelum para pengundi menjalankan tanggungjawab mereka, esok.
Baca juga: ‘Suara rakyat penentu dasar’ – Mat Sabu beri jaminan peladang, nelayan tak dipinggirkan