Kerajaan memberi jaminan daya tahan dana persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus diperkukuhkan walaupun pengeluaran melalui Akaun Fleksibel mencecah RM19.87 bilion setakat 31 Mei 2026.
Kementerian Kewangan memaklukan Akaun Fleksibel yang diperkenalkan pada 11 Mei 2024 merupakan sebahagian daripada penstrukturan semula akaun KWSP bagi mencapai keseimbangan antara keperluan kewangan jangka pendek ahli dan kecukupan simpanan persaraan untuk jangka panjang.
Menurutnya, kemudahan itu telah dimanfaatkan oleh sebahagian ahli bagi memenuhi keperluan kewangan harian, meningkatkan aliran tunai ketika kecemasan serta menangani keperluan mendesak.
Pada masa sama, kerajaan meningkatkan kadar agihan caruman ke Akaun Persaraan daripada 70 peratus kepada 75 peratus, sekali gus menambah RM9.1 bilion ke dalam Akaun Persaraan bagi tempoh Mei 2024 hingga Disember 2025.
Langkah itu membantu ahli mempercepatkan pengumpulan simpanan persaraan bagi menjamin keperluan kewangan selepas bersara.
Berdasarkan analisis KWSP, corak pengeluaran Akaun Fleksibel kini semakin stabil selepas fasa awal pelaksanaannya, dengan purata pengeluaran bulanan menurun kepada sekitar RM440 juta sepanjang Januari hingga Disember 2025.
Setakat 31 Mei 2026, seramai 5.5 juta ahli telah membuat pengeluaran melalui Akaun Fleksibel melibatkan jumlah RM19.87 bilion, manakala baki simpanan dalam akaun berkenaan masih berjumlah RM14.36 bilion.
Laporan penyelidikan bertajuk Enduring Today, Shaping Tomorrow: Akaun Fleksibel as a Financial Lifeline for Wellbeing yang diterbitkan pada April 2026 turut menunjukkan kira-kira 37 peratus atau 5 juta daripada 13.3 juta ahli berusia bawah 55 tahun membuat sekurang-kurangnya satu pengeluaran sepanjang tempoh kajian dari Mei 2024 hingga Oktober 2025.
Sebaliknya, 63 peratus atau 8.4 juta ahli tidak membuat sebarang pengeluaran daripada Akaun Fleksibel.
Daripada kumpulan itu, 44 peratus mempunyai simpanan yang mencukupi tetapi memilih mengekalkan wang persaraan mereka, manakala 56 peratus lagi tidak membuat pengeluaran kerana baki Akaun Fleksibel sifar atau kurang daripada jumlah minimum RM50.
Kajian sama turut mendapati pengeluaran Akaun Fleksibel kebanyakannya digunakan bagi menampung keperluan hidup harian, diikuti kos rawatan kesihatan dan pembayaran hutang.
Bagi memastikan kelestarian dana persaraan negara, kerajaan bersama KWSP akan terus mengekalkan struktur simpanan teras, memantau trend pengeluaran Akaun Fleksibel, memperkukuh literasi kewangan ahli, menggalakkan caruman sukarela dan tambahan, mengamalkan strategi pelaburan yang berhemat serta menjalankan penilaian dasar secara berkala.
Jawapan itu diberikan Kementerian Kewangan bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Ke-15.
Baca juga: Keputusan PRN Johor: Kepada Allah kita berserah – Anwar Ibrahim