Keputusan PRN Johor: Kepada Allah kita berserah – Anwar Ibrahim

Oleh MALAYSIADATELINE

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendirian untuk menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT berhubung keputusan Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) ke-16 hari ini.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, Anwar yang juga Perdana Menteri itu menyeru agar sokongan diberikan kepada calon PH dengan slogan ‘Yok merahkan Johor’ mencerminkan identiti parti gabungan tersebut.

Beliau turut berkongsikan petikan al-Quran dalam Surah An-Nisa’, ayat 58 tentang panduan asas Islam dalam konteks integriti yang memberi penekanan kepada dua prinsip utama iaitu menunaikan amanah dan keadilan pemerintahan.

“Yok merahkan Johor! Kepada Allah kita berserah. Johor Ke Depan. Undi HARAPAN.

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil.” (Surah An-Nisa: 58),” katanya dalam hantaran itu.

Menerusi hantaran sama, Anwar merangkap Presiden PKR itu turut berkongsikan gambar memaparkan calon PH yang akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk PRN kali ini.

Difahamkan, parti gabungan itu mempertaruhkan calon yang merangkumi seramai 20 wakil daripada PKR, 19 mewakili Amanah manakala DAP menghantar 17 calon sekali gus menyaksikan pertarungan sengit.

Sekadar info, rakyat Johor akan menunaikan hak dan tanggungjawab sebagai pengundi hari ini dengan keluar mengundi serta menentukan pilihan terbaik bagi mereka berhubung barisan kepimpinan benar-benar bekerja demi masa depan Johor.

Baca juga: PM Anwar terima sambutan luar biasa di Johor! Rakyat berbilang bangsa hadiri program PH