Jangan sia-siakan hak anda! SPR gesa semua pengundi Johor keluar mengundi hari ini

Oleh MALAYSIADATELINE

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan seluruh pengundi di Johor supaya membawa dokumen pengenalan diri, iaitu MyKad, serta menyemak maklumat saluran dan pusat mengundi masing-masing sebelum keluar menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-16 hari ini.

SPR menerusi satu hantaran di Facebook turut mengucapkan selamat mengundi kepada semua pengundi dan menggesa mereka menggunakan hak sebagai warganegara bagi menentukan masa depan negeri itu.

“Hari yang dinantikan telah tiba. Selamat menunaikan tanggungjawab kepada seluruh pengundi dalam Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor Ke-16 pada hari ini.

“Sebelum melangkah keluar, pastikan anda membawa dokumen pengenalan diri (MyKad) dan telah menyemak maklumat saluran serta pusat mengundi masing-masing.

“Tunaikan hak anda demi masa depan Johor tercinta. Selamat mengundi!” kata SPR.

SPR sebelum ini turut mengingatkan semua pihak, termasuk majikan, supaya memberikan masa yang munasabah kepada pekerja yang layak mengundi bagi memastikan proses demokrasi berjalan lancar dan setiap pengundi dapat menunaikan tanggungjawab mereka.

Baca juga: Halang pekerja keluar mengundi? SPR ingatkan majikan boleh didenda RM5,000 atau dipenjara