Bukan sekadar buka jalan baharu, Malaysia-Thailand sasar perdagangan USD30 bilion menjelang 2027

Oleh KIM SYAZIE

Malaysia dan Thailand membuka lembaran baharu kerjasama ekonomi apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul merasmikan jajaran jalan baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao.

Pembukaan laluan baharu itu dijangka mempercepat aliran perdagangan, memudahkan pergerakan rentas sempadan serta menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi di kawasan utara Semenanjung dan selatan Thailand.

Dalam hantaran di media rasmi, Anwar berkata, hubungan Malaysia dan Thailand telah terjalin sejak sekian lama dan kawasan itu pernah dikenali sebagai pusat perdagangan penting dunia.

“Sejarah telah lama mengikat bumi Malaysia dan Thailand. Ahli geografi Yunani, Ptolemy, pernah menggambarkan wilayah ini sebagai Golden Peninsula.

“Manakala para pedagang silam mengenalinya sebagai Suvarnabhumi, bumi emas yang menjadi nadi perdagangan dan pertemuan tamadun.

“Pembukaan jajaran baharu ini mencerminkan tekad kedua-dua negara untuk memperkukuh kesalinghubungan, mempercepat aliran perdagangan dan memudah cara pergerakan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Anwar, sebagai pintu masuk perdagangan darat paling sibuk antara Malaysia dan Thailand, setiap penambahbaikan di laluan Bukit Kayu Hitam–Sadao akan membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat serta memberi manfaat besar kepada rakyat.

Beliau turut memaklumkan bahawa pertemuan dengan Anutin membuahkan beberapa persetujuan penting, termasuk mempercepat pembangunan Zon Ekonomi Khas Sempadan, menyelesaikan isu-isu teknikal yang tertangguh serta memperkukuh komitmen mencapai sasaran perdagangan dua hala bernilai USD30 bilion menjelang 2027.

Katanya, limpahan manfaat daripada kerjasama itu bukan sahaja dirasai di kawasan sempadan, malah dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan menerusi peningkatan perdagangan, pelaburan, logistik, pelancongan serta peluang pekerjaan.

“Inilah pendekatan Kerajaan MADANI yang memastikan setiap hubungan strategik diterjemahkan kepada manfaat nyata buat rakyat.

“Insya-Allah, Malaysia dan Thailand akan terus memperkukuh hubungan demi keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Baca juga: PM Anwar terima sambutan luar biasa di Johor! Rakyat berbilang bangsa hadiri program PH