Malaysia-Thailand buka lembaran baru, akan kerjasama laksana inisiatif ini demi rakyat

Oleh KIM SYAZIE

Kunjungan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul selama dua hari ke Malaysia telah membuka lembaran baharu dalam hubungan diplomasi yang sekian lama terjalin antara dua negara sahabat.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perkongsian di platform Facebook bersama rakaman memaparkan rangkuman perbincangan beliau dengan Anutin dalam pertemuan mereka.

Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menekankan kerjasama strategik dua hala akan terus diperkukuhkan selain akan mempercepatkan pelaksanaan insisiatif yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua buah negara.

“Malaysia dan Thailand akan terus memperkukuh kerjasama selain bertekad mempercepat pelaksanaan pelbagai inisiatif yang telah dipersetujui agar manfaatnya dapat dirasai rakyat kedua-dua negara.

“Semoga hubungan Malaysia–Thailand terus mekar sebagai sebuah perkongsian yang kukuh, stabil dan saling menguntungkan, demi keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan serantau,” kata pemimpin nombor satu negara itu.

Berikut kami kongsikan beberapa kerjasama strategik baharu antara Malaysia dengan Thailand serta insiatif yang akan dilaksanakan demi kepentingan rakyat itu;

Pembukaan Laluan Baharu Bukit Kayu Hitam-Sadao

  • Laluan sepenjang 900 meter yang menghubungkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand dengan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Kedah
  • Dibuka rasmi hari ini bertujuan untuk memudahcara pergerakan pelancong antara kedua-dua buah negara serta merancakkan perdagangan rentas sempadan.

Percepat Pelaksanaan Zon Ekonomi Khas

  • Kedua-dua negara telah bersetuju untuk mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan Zon Ekonomi Khas (SEZ) untuk menarik pelaburan melalui proses memudah cara urusan imigresen, kastam dan memperkasa perdagangan dua hala.
  • Inisiatif ini melibatkan penyelarasan urusan kastam dan imigresen di pintu-pintu sempadan utama serta mempercepat projek pembinaan jajaran jalan baharu yang menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao.

Peningkatan Jumlah Perdagangan antara Malaysia dan Thailand

  • Perkembangan kerjasama dan komitmen pelbagai bidang menyasarkan angka perdagangan AS$30 bilion menjelang 2027, termasuk kerjasama melibatkan keselamatan makanan dan industri berteknologi tinggi.

Perkukuh Jaringan Kereta Api dan Perkhidmatan Feri

  • Jaringan kereta api berkembar di koridor Ipoh-Padang Besar-Hat Yai akan terus diperkukuhkan dengan pengoperasian penuh Pelabuhan Darat Perlis (PIP) dan kemajuan projek Jambatan Sungai Golok-Rantau Panjang Kedua.
  • Cadangan untuk menghidupkan semula perkhidmatan kereta api Rantau Panjang-Sungai Golok serta perkhidmatan feri antara Satun dan Kuala Perlis pula berada di peringkat perbincangan.

Penyelarasan Projek Membabitkan Pengangkutan

  • Mesyuarat Sulung Jawatankuasa Menteri Bersama akan diadakan pada tahun ini mengenai Kerjasama Pengangkutan (JMC) di Malaysia bagi memperkukuh penyelarasan semua projek kesalinghubungan antara kedua-dua negara.

Kerjasama Pengurusan Sempadan dan Banteras Jenayah

  • Kerjasama dalam aspek keselamatan akan diperhebat melalui pengurusan sempadan dan membanteras jenayah rentas negara termasuk penipuan atas talian, pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, hidupan liar serta kayu balak.
  • Menubuhkan kumpulan kerja bersama untuk menyelaras projek pembinaan tembok keselamatan di Sungai Golok, selain memperkukuh kerjasama teknikal dalam pengurusan sumber air dan pemantauan banjir di kawasan sempadan.
  • Kedua-dua pemimpin menyokong Proses Dialog Keamanan berhubung isu Wilayah Sempadan Selatan Thailand, manakala Thailand pula merakamkan penghargaan kepada Malaysia kerana memainkan peranan sebagai fasilitator.

Pemetraian Memorandum Persefahaman (MoU)

  • Kerjasama lebih erat dalam aspek keselamatan makanan, penyelidikan, inovasi, pembangunan kapasiti serta pembangunan pertanian mampan disokong oleh pemetraian MoU
  • Malaysia dan Thailand juga akan memperkukuhkan kerjasama dalam bidang keselamatan tenaga, ekonomi hijau, tindakan iklim, ekonomi digital, industri teknologi tinggi, keselamatan makanan dan industri halal.

Perkukuh Kerjasama Pelancongan, Pendidikan dan Perpaduan

  • Kerjasama perlancongan dalam bidang sosial akan diperkukuhkan melalui penambahbaikan jaringan pengangkutan darat, rel, udara serta laut antara Malaysia dan Thailand.
  • Malaysia dan Thailand turut memperkembangkan kerjasama dalam bidang pembelajaran termasuk melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
  • Komitmen untuk memperkukuhkan perpaduan dan kepusatan di peringkat rantau ASEAN akan terus diutamakan dalam usaha mencapai keamanan, kestabilan serta pembangunan di rantau ini.

Baca juga: Bukan sekadar buka jalan baharu, Malaysia-Thailand sasar perdagangan USD30 bilion menjelang 2027