Seorang lelaki meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa isterinya yang sedang hamil 38 minggu disyaki menyembunyikan barangan di sebalik perut ketika mereka selesai membeli-belah di sebuah pasar raya di Selayang.
Menerusi perkongsian di media sosial, Fareez Shah berkata, mereka ditahan seorang kakitangan selepas selesai membuat pembayaran sebelum isterinya ditanya, “Akak simpan barang apa tu dalam perut?”.
Terkejut dengan pertanyaan itu, dia meminta kakitangan berkenaan menjelaskan barangan yang didakwa dicuri serta mengemukakan bukti.
Bagaimanapun, dia mendakwa isterinya diminta menunjukkan Buku Pink sebagai bukti kehamilan, selain menunjukkan bahagian perut bagi membuktikan tiada barangan disembunyikan.
“Seorang wanita yang hamil 38 minggu diminta membuktikan kehamilannya hanya kerana seseorang menganggap bentuk perutnya mencurigakan,” katanya.
Menurutnya, pasangan itu kemudian terpaksa menunggu hampir 20 minit di hadapan pelanggan lain sementara penyelia dihubungi.
Apabila penyelia tiba, lelaki berkenaan mendakwa juruwang yang menimbulkan syak wasangka itu mengakui tidak pernah melihat isterinya mengambil sebarang barangan.
Sebaliknya, kecurigaan itu didakwa timbul kerana bentuk perut isterinya dianggap ‘tidak kelihatan seperti perut wanita hamil’ dan disangka menyembunyikan barangan.
“Tiada saksi, tiada bukti dan tiada barang yang dicuri. Hanya satu andaian,” katanya.
Menurutnya, kakitangan terlibat akhirnya memohon maaf, namun dia menegaskan isu tersebut bukan sekadar mengenai permohonan maaf, sebaliknya cara isterinya yang sedang sarat mengandung dilayan.
“Tiada wanita hamil sepatutnya melalui perkara seperti ini dan tiada pelanggan sepatutnya dituduh secara terbuka tanpa bukti,” katanya.
Dia turut menggesa pihak pengurusan pasar raya berkenaan menyiasat insiden itu dengan serius bagi memastikan kejadian sama tidak berulang terhadap pelanggan lain.
Baca juga: 4.7 juta ahli KWSP tak boleh buat pengeluaran, baki Akaun Fleksibel bawah RM50