Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor rasmi melabuhkan tirainya dengan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) selepas memperoleh 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Gabungan Pakatan Harapan (PH) pula berjaya memenangi lapan kerusi manakala Perikatan Nasional (PN), Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pula tidak merekodkan kejayaan.
Dalam pada itu, Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta enam calon bebas yang lain juga gagal meraih sebarang kemenangan dalam sebarang kerusi dipertandingkan mereka.
Selepas keputusan penuh dikeluarkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pastinya ada pihak yang tertanya parti atau gabungan manakah yang meraih ‘kekalahan’ dengan kehilangan deposit paling banyak dalam PRN kali ini?
Untuk pengetahuan pembaca, seseorang calon akan hilang wang deposit sekiranya gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu per lapan daripada jumlah undi yang diperoleh semua calon bertanding di sesebuah kerusi.
Mengikut penilaian berdasarkan peraturan pilihan raya ini, Perikatan Nasional (PN) didapati menjadi gabungan yang merekodkan jumlah calon hilang wang deposit paling ramai dalam PRN Johor ke-16 kali ini.
Hal ini berikutan seramai 21 berbanding 33 calon yang dipertandingkan PN gagal meraih sekurang-kurangnya satu per lapan daripada jumlah undi keseluruhan seperti yang ditetapkan oleh peraturan SPR.
Komponen dalam PN yang kehilangan deposit adalah membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu seramai 16 calon dan Parti Kemajuan India Malaysia (MIPP) melibatkan enam wakil yang dipertandingkan.
Turut kehilangan wang deposit adalah calon daripada BERSAMA yang menyaksikan kesemua 15 wakilnya tidak memperoleh sebarang kemenangan dalam kemunculan sulung mereka di pentas pilihan raya negeri.
Dalam pada itu, seramai tujuh calon dalam gabungan PH, kesemua enam wakil Bebas serta empat daripada MUDA turut gagal dalam usaha mempertahankan wang deposit mereka.
Sementara itu, seorang calon masing-masing daripada parti ASLI dan PSM juga turut kehilangan wang deposit mereka selepas gagal melepasi syarat minimum yang telah ditetapkan SPR.
Baca juga: Didesak letak jawatan lepas BN menang PRN Johor, ini respons Nga Kor Ming