Bukan boleh minta sesuka hati, PHM bersuara selepas ibu hamil diminta tunjuk Buku Pink

Oleh MALAYSIADATELINE

Buku Pink bukan sekadar buku rekod kehamilan, sebaliknya mengandungi pelbagai maklumat kesihatan peribadi dan sensitif yang perlu dihormati serta dilindungi privasinya.

Terdahulu, tular satu insiden membabitkan seorang wanita hamil yang didakwa mencuri sehingga pekerja pasar raya berkenaan meminta untuk melihat Buku Pink serta perutnya bagi membuktikan kehamilan.

Tindakan itu bagaimanapun mengundang rasa tidak puas hati suaminya yang mempersoalkan cara isterinya dilayan dalam kejadian tersebut apatah lagi tiada bukti berlaku kes kecurian dan ia hanyalah andaian juruwang berkenaan.

Public Health Malaysia (PHM) menjelaskan, Buku Pink merupakan rekod kesihatan ibu mengandung yang mungkin mengandungi sejarah perubatan, hasil pemeriksaan, keputusan ujian darah serta maklumat berkaitan ibu dan kandungan.

Menurut PHM, maklumat yang terkandung dalam buku berkenaan merupakan data peribadi sensitif dan sewajarnya dikendalikan dengan penuh penghormatan terhadap privasi pemiliknya.

Sehubungan itu, pekerja atau mana-mana pihak boleh bertanya atau meminta untuk melihat Buku Pink dengan cara yang baik, namun ibu hamil juga mempunyai hak untuk menolak permintaan tersebut.

“Pekerja boleh bertanya atau meminta dengan baik, tetapi ibu hamil juga mempunyai hak untuk berkata tidak,” menurut perkongsian PHM.

Penjelasan itu menekankan kepentingan menghormati batas privasi seseorang, khususnya apabila melibatkan rekod kesihatan yang mengandungi maklumat peribadi dan sensitif.

Buku Pink lazimnya digunakan sebagai rekod pemantauan kesihatan sepanjang kehamilan dan mengandungi maklumat penting berkaitan keadaan ibu serta perkembangan kandungan.

Baca juga: Suami berang, isteri hamil 38 minggu disuruh ‘buktikan’ kehamilan kerana disangka sorok barang