Kes ibu hamil didakwa mencuri belum reda, pelanggan lain pula buka cerita

Oleh MALAYSIADATELINE

Susulan tular kes seorang wanita hamil yang mendakwa dituduh mencuri di sebuah pasar raya di Selayang, seorang lagi pelanggan tampil berkongsi pengalaman hampir sama apabila pernah diminta membuka beg galas ketika mahu membuat pembayaran.

Perkongsian pengguna Threads, @eusoffeismael mendakwa kejadian berlaku di pasar raya sama di Selayang yang sering dikunjunginya kerana terletak berhampiran rumah.

Menurutnya, dia sudah biasa memasuki premis berkenaan dengan membawa beg komputer riba dan tidak pernah berdepan sebarang masalah sebelum ini.

Namun, dalam satu kejadian ketika berada di kaunter untuk membuat pembayaran, dia mendakwa seorang juruwang tiba-tiba memintanya membuka beg galas yang dibawa.

“Selama ini masuk bawa beg laptop tak ada apa-apa pun, okey saja. Sampailah satu hari, masa dekat kaunter nak bayar barang, tiba-tiba cashier cakap, ‘Bang, boleh buka beg nak tengok?’

“Saya yang blur ini tak faham, jawab ‘tengok beg apa?’ Dia kata beg yang saya galas itu,” katanya menerusi perkongsian tersebut.

Lelaki itu kemudian mempersoalkan sebab begnya perlu diperiksa kerana mendakwa tidak mencuri apa-apa barangan.

Menurutnya, juruwang terbabit menjelaskan pemeriksaan itu dilakukan sebagai prosedur susulan kes kecurian yang berlaku sehari sebelumnya, apabila seorang individu didakwa menyembunyikan barangan di dalam beg.

Berasa seolah-olah disyaki mencuri, lelaki itu mengakui dirinya berang sebelum membuka beg berkenaan dengan luas di hadapan kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kaunter bagi menunjukkan isi kandungannya.

“Hah, tengok apa barang yang ada dalam beg ini! Macam teruk sangat saya ini nak curi barang di sini, macam saya tak ada duit,” katanya.

Dalam hantaran sama, dia turut mendakwa pernah menyaksikan seorang kakitangan lelaki di premis berkenaan bertengkar dengan pelanggan lain berhubung urusan pemulangan barangan.

Dakwaan tersebut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial, termasuk ada yang mempersoalkan kaedah pemeriksaan terhadap pelanggan sekiranya tiada bukti kukuh atau alasan munasabah untuk mengesyaki berlakunya kecurian.

“Sekarang ini saya tertanya-tanya, staf sini ada KPI ke sebulan wajib kena tangkap pelanggan mencuri?

“Bersungguh-sungguh betul nak tangkap orang mencuri sampai main serbu begitu saja tanpa bukti kukuh,” tulis seorang pengguna.

Terdahulu, tular dakwaan seorang wanita hamil dituduh mencuri ketika mengunjungi sebuah pasar raya di Selayang sehingga mencetuskan perdebatan mengenai prosedur pemeriksaan pelanggan serta hak privasi pengguna.

Baca juga: Wanita terkejut jumpa iklan di Bukit Bintang, bilik mandi dijadikan bilik sewa RM950 sebulan