Anwar Ibrahim akan umum semua calon PH esok, hadapi PRN Negeri Sembilan

Oleh MALAYSIADATELINE

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan semua calon yang bakal bertanding mewakili gabungan itu di Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, pada malam esok.

Difahamkan, Anwar yang juga merupakan Presiden PKR itu akan mengumumkan perkara berkenaan dalam Majlis Pengumuman Calon PH PRN Negeri Sembilan di Dataran Melang, Kuala Pilah pada jam 7.30 malam.

Berdasarkan perkongsian di platform Facebook, majlis itu akan dihadiri Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Timbalan Pengerusi PH; Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dan Loke Siew Fook.

Pembahagian 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan itu sudah ditetapkan dengan menyaksikan PKR mempertandingkan seramai 16 calon diikuti DAP (11) dan Amanah (sembilan).

Dalam pada itu, DAP Negeri Sembilan hari ini telah memperkenalkan 11 calon untuk menghadapi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos dalam Majlis Pengumuman Calon DAP DUN Temiang yang diadakan di Seremban.

Pengumuman itu menyaksikan lapan penyandang kerusi DUN dikekalkan selain tiga calon muka baharu diperkenalkan untuk bertanding di DUN Mambau iaitu Lee Kai Yet, S. Mugunthan (DUN Seremban Jaya) dan Ho Weng Wan (DUN Temiang).

Lapan calon penyandang yang dikekalkan ialah Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook (Chennah), Desmond Sian Meow Kong (Rahang), Teo Kok Seong (Bahau), J.Arul Kumar (Nilai), Chew Seh Yong (Lobak), Nicole Tan Lee Koon ( Bukit Kepayang), Choo Ken Hwa (Lukut) dan S. Veerapan (Repah). 

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, manakala hari penamaan calon pada 18 Julai dan pengundian awal pada 28 Julai.

Baca juga: Malaysia-Finland teroka kerjasama ekonomi kitaran, bangun taman perindustrian eko