“Risau macam-macam data ada dalam IC” – Rider persoal mesin baca MyKad di pondok pengawal

Oleh MALAYSIADATELINE

Tindakan sebuah residensi di Kajang yang didakwa meminta pelawat memasukkan MyKad ke dalam mesin pembaca bagi tujuan pendaftaran masuk menimbulkan persoalan mengenai keselamatan dan penggunaan data peribadi.

Perkara itu dibangkitkan seorang pengguna Threads dikenali sebagai Faris yang mendakwa dia diminta menyerahkan MyKad ketika menghantar pesanan ke satu residensi di Kajang Utama.

Menurutnya, bukan sahaja MyKad diminta untuk tujuan pendaftaran, malah kad pengenalan itu perlu dimasukkan ke dalam sebuah mesin yang didakwa digunakan untuk membaca dan merekodkan maklumat pelawat.

“Tadi saya hantar order ke residensi ini. Nak tanya, boleh ke security (pengawal keselamatan) ada mesin baca IC (kad pengenalan) macam ini? Siap kena cucuk IC dalam mesin itu.

“Katanya untuk isi data nak daftar masuk,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Faris turut meluahkan kebimbangan mengenai data yang mungkin dibaca atau disimpan menerusi mesin berkenaan.

“Risaulah, dahlah macam-macam data kita ada dalam IC tu, tambah lagi sekarang ada Budi95, MyKasih, MySara bagai dalam IC,” jelasnya.

Dia kemudian mengakui tetap menggunakan mesin tersebut kerana berada dalam keadaan tergesa-gesa selepas pelanggan yang menerima pesanan tidak menjawab panggilannya.

“Biasanya minta lesen sahaja, ini minta IC, siap kena cucuk dalam mesin lagi,” katanya.

Hantaran tersebut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial dengan beberapa individu turut mempersoalkan amalan meminta MyKad di pondok pengawal keselamatan.

“Tak boleh. Memang tak boleh. Tapi banyak yang tak tahu dan terus bagi. Saya pun macam itu juga dulu. Lepas dah tahu, saya tak bagi lagi. Bagi lesen sahaja untuk urusan apa-apa dekat pondok guard ini.

“Pernah kena stop dengan guard Nepal ini, tetapi saya takkan bagi IC. Bagi IC ini macam dah normalize, tapi kita jangan terus normalize-kan. Berkeras saja bagi lesen,” komen pengguna Threads.

“Residensi jenis macam ini menyusahkan saja. Lain kali kalau dapat jenis macam ini, report dengan CS (khidmat pelanggan) saja. Bagi alasan premis/kediaman pelanggan susah nak masuk.

“Drop saja dekat pos guard itu. Lantak kalau pelanggan tak faham. Setakat bagi lesen okey lagi. Kalau nak IC bagai, jangan layan,” komen seorang pengguna.

“Tak boleh. Warga asing tak boleh minta atau pegang IC kita,” tambah pengguna yang lain.

Baca juga: Rakyat Malaysia kecam pelancong asing biarkan anak buang air besar dalam tong sampah di KLIA