Seorang lelaki yang dikenali sebagai Fareez Shah mempersoalkan satu komen di media sosial yang didakwa mempunyai unsur ugutan terhadap dirinya dan keluarga.
Fareez sebelum ini tampil bersuara selepas isterinya mendakwa dituduh mencuri ketika berada di premis pasar raya berkenaan, sehingga mencetuskan perhatian ramai di media sosial.
Terbaharu, seorang pengguna media sosial dilihat tampil mempertahankan kakitangan premis yang terlibat dalam kontroversi tersebut dan meminta Fareez supaya tidak terus mendesak individu berkenaan selepas permohonan maaf secara terbuka dibuat.
“Cukuplah tu. Dah issued public apology kau nak apa lagi. Tuhan tu Maha Berkuasa tau!
“Daripada kau nak corner budak Lotus tu, baik kau berdoa supaya urusan kau dengan isteri dipermudah urusan bersalin.
“Kau lepaskan dia sekali, esok lusa orang akan lepaskan kau atau mungkin isteri atau anak kau. Kang attack dia tak sudah-sudah nanti kehilangan nyawa, kau okey ke?” tulis individu tersebut.
Komen itu bagaimanapun mengundang persoalan Farez yang melihat kenyataan berkenaan sebagai satu bentuk ugutan terhadap dirinya dan keluarga.
“Sekarang ugutan pula!? @lotussmalaysia, anda bertanggungjawab atas perkara ini,” tulisnya menerusi satu hantaran di Threads.
Rata-rata netizen bersetuju komen tersebut berbaur ugutan dan meminta lelaki berkenaan untuk membuat laporan polis.
Tular sebelum ini mengenai seorang lelaki meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa isterinya yang sedang hamil 38 minggu disyaki menyembunyikan barangan di sebalik perut ketika mereka selesai membeli-belah di sebuah pasar raya di Selayang.
Baca juga: Suami berang, isteri hamil 38 minggu disuruh ‘buktikan’ kehamilan kerana disangka sorok barang