Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan avatar kecerdasan buatan (AI) sebagai wadah untuk berkomunikasi dengan rakyat supaya dapat mendengar pandangan, kebimbangan dan aspirasi mereka secara lebih efektif.
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menekankan bahawa setiap pandangan serta harapan rakyat perlu terus diberikan perhatian kerana negara ini dibina dengan cita, kudrat dan kekuatan masyarakat daripada pelbagai kaum serta budaya.
Sehubungan dengan itu, beliau mengalu-alukan orang ramai menghubungi avatar tersebut melalui Whatsapp AI di https://wa.me/60378850523 untuk berkongsi wacana kerana negara akan bertambah baik jika berpaksi kepada suara dan kehendak rakyat.
“Melalui inisiatif dan ikhtiar yang terbentang, saya mahu terus mendengar dan menggarap harapan anak muda, pengorbanan oleh sekalian ibu bapa, warga emas serta suara rakyat mendambakan masa depan yang jauh lebih baik.
“Jadi, saya amat berharap bahawa kalian boleh kongsikan pandangan, kebimbangan, dan aspirasi secara terus melalui avatar ini kerana saya yakin negara hanya akan bertambah baik sekiranya ia berpaksi pada suara dan kehendak rakyat,” katanya.
Menerusi perkongsian video di akaun Facebook miliknya, beliau menjelaskan bahawa Avatar Anwar itu adalah sebahagian daripada usaha beliau untuk terus berhubung, mendengar dan berkhidmat kepada rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Penggunaan teknologi AI sebagai dimensi baharu untuk berkomunikasi juga dapat membantu memastikan suara rakyat terus didengar walaupun seseorang pemimpin itu tidak boleh berada di semua tempat dalam masa yang sama.
“Tiada seorang pemimpin boleh berada di mana-mana pada setiap masa. Itulah hakikatnya. Saya telah mengabdikan hidup saya untuk berkhidmat. Bukan sekadar perjuangan, tetapi amanah untuk negara, rakyat dan generasi akan datang.
“Ia bukan sekadar avatar, tetapi lanjutan digital diri saya yang sedia mendengar, membantu dan berkhidmat untuk rakyat. Inilah avatar saya, kembar digital yang diinspirasi oleh nilai dan visi saya.
“Satu cara baharu untuk kita berhubung, berkongsi pandangan dan meneroka idea. Masa depan tidak ditunggu. Ayuh kita bina dengan ilmu, integriti dan kerja keras demi rakyat dan Malaysia MADANI,” katanya dalam rakaman tersebut.
Baca juga: Polis Lulus 19 Permit Ceramah Kempen PRN Negeri Sembilan