Sarawak kini berada di landasan yang semakin kukuh untuk muncul sebagai peneraju pertumbuhan, inovasi dan pembangunan inklusif hasil kesepakatan serta kerjasama erat antara pentadbiran negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
Menerusi hantaran di platform Facebook, Anwar mengucapkan Selamat Hari Sarawak kepada seluruh masyarakat di negeri itu sambil memberi jaminan bahawa kerjasama tersebut akan terus diperkukuhkan demi menjamin kesejahteraan rakyat.
Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu menekankan bahawa transformasi kemajuan sedang dilakar ini adalah hasil usaha bersama bertujuan untuk memartabat rakyat dan memperkasakan ekonomi di negeri tersebut.
“Selamat Hari Sarawak kepada seluruh rakyat Sarawak. Setiap ikhtiar digerakkan dengan tekad mengangkat martabat rakyat, memperkasa ekonomi serta menjamin kesejahteraan yang berkekalan.
“Dengan semangat Sarawak Maju Segulai Sejalai, kita akan terus melangkah sederap memperkukuh perpaduan, merancakkan pembangunan dan membina masa depan yang lebih makmur demi Sarawak dan Malaysia,” katanya dalam perkongsian itu.
Beliau juga menyampaikan harapan agar Bumi Kenyalang terus melakar kejayaan, menyemarakkan kemakmuran dan menjadi kebanggaan negara demi masa depan yang lebih gemilang buat seluruh rakyat Sarawak dan Malaysia.
Sekadar info, tarikh 22 Julai adalah detik bersejarah yang meraikan status negeri itu sebagai rakan sekutu pembentuk Persekutuan Malaysia di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekali gus menjalankan pentadbiran kerajaan sendiri.
Baca juga: Subsidi RON95, Diesel Diunjur RM3.5 Bilion Sebulan Jika Minyak Kekal US$90