Kerajaan menganggarkan subsidi petrol RON95 mencecah kira-kira RM2 bilion sebulan dan subsidi diesel sekitar RM1.5 bilion sebulan sekiranya harga minyak mentah kekal pada paras sekitar US$90 setong berdasarkan unjuran semasa.
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata setakat ini kedudukan fiskal negara kekal kukuh dan unjuran fiskal tidak berubah, meskipun berlaku kenaikan harga minyak mentah.
“Kerajaan turut memperoleh hasil daripada petroleum, setiap kenaikan harga minyak sebanyak US$1 setong dijangka menjana tambahan hasil kira-kira RM300 juta.
“Pada Oktober nanti, ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027, kerajaan akan mengumumkan unjuran fiskal terkini berdasarkan keadaan semasa pada ketika itu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar yang ingin mengetahui sama ada kerajaan masih yakin sasaran defisit fiskal dapat dikekalkan sekiranya harga minyak mentah dunia meningkat melebihi unjuran, serta pelan kontingensi yang disediakan bagi menghadapi situasi tersebut.
Bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian mengenai cadangan meningkatkan had kuota BUDI Diesel bagi Sabah dan Sarawak, Liew berkata kerajaan bersedia mempertimbangkan permohonan bagi kumpulan tertentu.
“Sebagai contoh, pengguna kenderaan pikap telah diperuntukkan tambahan kuota sebanyak 100 liter melalui permohonan yang sangat mudah. Jika terdapat kes-kes khusus yang perlu dipertimbangkan, kerajaan bersedia menelitinya,” katanya. — BERNAMA.
Baca juga: Betul ke wajib tukar alamat MyKad? JPN tampil jelaskan kekeliruan