Usaha kepimpinan negeri Aminuddin Harun tangani masalah banjir dihargai – PM Anwar

Oleh MALAYSIADATELINE

Rata-rata penduduk menyambut baik usaha dilaksanakan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun khususnya dalam menangani masalah banjir yang sekian lama membelenggu warga Ampangan.

Difahamkan, perkara tersebut disampaikan penduduk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kunjungan beliau semalam bagi menyemarakkan kempen calon Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Kunjungan dimulakan dengan menghadiri program Santai Petang Bersama Warga Ampangan pada jam 4 petang untuk memberi dukungan kepada calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu iaitu Datuk Muhammad Nazri Kassim.

Menerusi hantaran di platform Facebook, Anwar memaklumkan bahawa kunjungan di Medan Selera Ampangan itu membolehkan mereka menyantuni penduduk setempat dengan santai bagi mendengar pandangan, isu serta keperluan pembangunan rakyat.

“Alhamdulillah, rata-rata penduduk menyambut baik usaha yang dilaksanakan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan saudara Aminuddin Harun, khususnya dalam menangani masalah banjir yang sekian lama membelenggu masyarakat Ampangan.

“Saudara Nazri pula membawa tekad untuk memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan dapat merancakkan ekonomi setempat dan memberi manfaat secara langsung kepada penduduk, dengan dukungan kukuh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Madani.

“Insya-Allah dengan mandat rakyat, saudara Nazri akan meneruskan khidmat dan ikhtiar ini di Ampangan, sementara saudara Aminuddin terus mengemudi pasukan HARAPAN untuk memperhebat pembangunan, memelihara kebajikan rakyat dan meneruskan pentadbiran cemerlang di Negeri Sembilan,” katanya dalam hantaran itu.

Sekadar info, Muhammad Nazri akan menghadapi saingan tiga penjuru bagi kerusi DUN Ampangan menentang calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Mohamad Rafie Malek dan wakil daripada Bersatu, Noor’azah Harun.

Tarikh 1 Ogos sebelum ini ditetapkan sebagai hari pengundian PRN Negeri Sembilan, manakala undi awal pada 28 Julai dengan menyaksikan PH bertanding di kesemua 36 kerusi DUN membabitkan 16 calon PKR, 11 daripada DAP dan sembilan wakil Amanah.

Baca juga: Anwar turun padang, yakin pentadbiran Aminuddin Harun wajar dikekalkan