“Jangan termakan sentimen kaum” – Mohamad Sabu rayu pengundi kekalkan PH di Negeri Sembilan

Oleh MALAYSIADATELINE

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata peluang gabungan itu untuk terus mentadbir Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bergantung sepenuhnya kepada sokongan dan keputusan rakyat.

Menurut beliau, kemenangan bukan ditentukan oleh pemimpin atau calon, sebaliknya terletak di tangan pengundi yang akan membuat pilihan pada hari pengundian.

“Ramai yang tanya, HARAPAN boleh menang atau tidak di Negeri Sembilan.

“Menang kalah bukan saya yang tentukan, bukan calon yang tentukan, tetapi rakyat Negeri Sembilan sendiri,” katanya ketika berucap pada Ceramah Kelompok DUN Klawang.

Mohamad berkata, jentera PH kini memberi tumpuan kepada pendekatan turun padang bagi bertemu seramai mungkin pengundi tanpa mengira latar belakang politik.

Katanya, usaha tersebut bertujuan mendengar sendiri pandangan rakyat selain menjelaskan pencapaian kerajaan negeri serta perancangan yang ingin dilaksanakan sekiranya diberi mandat sekali lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan PH tidak berminat menjadikan isu perkauman atau agama sebagai bahan utama kempen pilihan raya.

Sebaliknya, beliau berkata kempen perlu berasaskan rekod pencapaian dan tawaran kepada rakyat.

“Kita lebih suka bercakap tentang kerja yang telah dibuat dan apa lagi yang mahu dilakukan untuk rakyat, bukan bermain sentimen kaum atau menakut-nakutkan rakyat dengan isu agama,” katanya.

Beliau turut menyifatkan rakyat Negeri Sembilan sebagai pengundi yang bijak dan mampu menilai pemimpin yang benar-benar ikhlas berkhidmat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

Sehubungan itu, Mohamad menyeru pengundi supaya keluar mengundi pada 1 Ogos bagi memastikan PH terus diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan.

Baca juga: Kepimpinan Aminuddin Harun rungkai isu rumah mampu milik, hak milik tanah – PM Anwar