Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil menjelaskan maksud sebenar penganugerahan Ijazah Kehormat yang diterimanya daripada Sunway University selepas mengakui isu itu sering mengundang pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Siti berkata pihak Sunway University sebenarnya telah menghubunginya sejak tahun lalu bagi memaklumkan hasrat untuk menganugerahkan pengiktirafan tersebut.
Menurutnya, beliau bersama pihak pengurusan turut mengundang wakil universiti berkenaan ke pejabat bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai sebab pemilihannya sebagai penerima Ijazah Kehormat.
“Saya tahu, setiap kali saya menerima atau dianugerahkan sesuatu daripada institusi akademik, akan timbul ‘kata-kata’ yang sama.
“Saya rungkaikan di bawah ini supaya semua faham tentang Ijazah Kehormat yang saya terima semalam,” katanya.
Siti menjelaskan bahawa Ijazah Kehormat merupakan anugerah khas yang diberikan oleh sesebuah universiti tanpa perlu melalui pengajian akademik secara formal.
Katanya, anugerah itu diberikan sebagai tanda penghormatan tertinggi kepada individu yang telah memberi sumbangan luar biasa, berimpak besar dan berterusan dalam bidang tertentu serta kepada masyarakat.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pengiktirafan yang diterimanya adalah dalam bidang Seni Kreatif dan Media, yang mengiktiraf peranan, pencapaian, kepimpinan serta impaknya dalam industri seni.
Menurut Siti, pengiktirafan itu turut mengambil kira sumbangannya dalam meletakkan penanda aras industri muzik, seni persembahan dan media di peringkat tempatan serta antarabangsa.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memahami penjelasan tersebut dan menegaskan dirinya tidak pernah mengejar sebarang pengiktirafan sepanjang lebih dua dekad berkarya.
“Apa jua yang saya terima, saya sendiri tak pernah terfikir kerana saya hanya menjalankan tugas saya selama ini. Apa yang datang selepas itu, saya syukuri,” katanya.
Baca juga: Laporan RCI TH Perlu Jadi Titik Mula Pemulihan Institusi – Muhammad Kamil