Kerajaan Madani akan terus memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara dengan menambah baik aset serta keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di samping memastikan aspek kebajikan, kemudahan dan keperluan anggota serta keluarga mereka terus diberi perhatian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa komitmen ini diterjemahkan menerusi Belanjawan Madani apabila Kementerian Pertahanan menerima peruntukan tertinggi dalam sejarah, berjumlah RM21.7 bilion bagi tahun 2026.
Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu menjelaskan bahawa peruntukan tersebut meningkat daripada RM16.1 bilion pada tahun 2022, iaitu melonjak sekitar 35 peratus sekali gus mencerminkan iltizam kerajaan Madani untuk memperkukuhkan pertahanan negara.
Jasa dan pengorbanan para perajurit serta veteran yang telah berbakti mempertahan kedaulatan negara juga tidak dilupakan apabila Anwar meluluskan bantuan tambahan sebanyak RM2 juta kepada Tabung Hari Pahlawan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka.
Bantuan disalurkan bersempena Hari Pahlawan yang akan disambut pada 31 Julai itu diumumkan Anwar ketika berucap dalam Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) semalam sebelum dikongsikan semula menerusi hantaran dimuat naik di platform Facebook.
“Alhamdulillah, dapat kembali ke Port Dickson untuk menyantuni warga ATM di PUSASDA. Saya hadir bukan sekadar untuk bertemu, tetapi bagi merakamkan penghargaan kepada seluruh anggota ATM yang saban hari menggalas amanah besar mempertahankan kedaulatan, keamanan dan kemakmuran negara.
“Ia juga mencerminkan iltizam kerajaan untuk terus memperkukuh keupayaan pertahanan negara, memodenkan aset ketenteraan serta meningkatkan kesejahteraan seluruh warga ATM.
Saya mendoakan agar seluruh warga ATM terus diberikan kekuatan dalam menggalas amanah yang mulia ini. Insya-Allah, kerajaan akan terus berdiri bersama saudara-saudari dalam memastikan kebajikan, kesejahteraan dan keperluan keluarga sentiasa menjadi keutamaan.
Baca juga: Anwar lulus peruntukan segera RM2 juta untuk MUKMIN, mahu lahir lebih ramai pemimpin masa depan