Dataran Merdeka kembali bermandikan warna-warni budaya apabila Citrawarna 2026 dianjurkan semula selepas tujuh tahun, menghimpunkan persembahan tradisi dari seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penganjuran semula festival itu membuktikan komitmen kerajaan memelihara warisan budaya negara.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata penganjuran semula festival itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan MADANI untuk mengangkat kekayaan budaya Malaysia, selain memperkenalkannya kepada dunia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Selepas kali terakhir dianjurkan tujuh tahun lalu, Kerajaan MADANI kembali menghidupkan Citrawarna bagi mempergiat usaha memelihara warisan budaya yang menjadi tunjang identiti negara, selain memperkenalkan keunikan Malaysia kepada dunia bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” kata beliau dalam hantaran di media sosial.
Anwar berkata beliau teruja menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan yang dibawakan oleh setiap negeri, antaranya randai dan tari piring, zapin dan samrah, dondang sayang serta tarian canggung.
“Teruja menyaksikan persembahan dari setiap negeri yang dibawakan dengan penuh semangat, termasuk randai dan tari piring, zapin dan samrah, dondang sayang serta tarian canggung.
“Setiap persembahan bukan sahaja menghiburkan, malah mengangkat sejarah dan kisah di sebalik seni tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun,” jelas beliau.
Menurut Anwar, antara perkara paling membanggakan ialah kemampuan Citrawarna menghimpunkan rakyat daripada pelbagai kaum untuk bersama-sama menikmati keindahan budaya Malaysia.
Beliau berkata, suasana itu secara tidak langsung menyuburkan rasa saling menghargai antara masyarakat serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.
Anwar turut berharap lebih banyak program yang mengetengahkan seni, budaya dan warisan negara dapat terus dianjurkan serta menerima sokongan daripada pelbagai pihak.
Termasuk sektor swasta, bagi memastikan khazanah negara terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Baca juga: Anwar mahu rakyat tingkat kemahiran, jangan terjebak dalam politik kebencian