Hubungan usahawan Datuk Seri Vida dengan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob nampaknya bukanlah dibuat-buat atau sekadar ‘content’.
Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 55, tidak menafikan atau mengiyakan hubungannya dengan Fazley, namun memberi bayangan seolah-olah gurauan “sayang” yang sering disebut Fazley bukan sekadar usikan.
Memetik Harian Metro, Vida berkata, pada peringkat awal, Fazley mungkin tersasul memanggilnya sayang, namun beliau enggan terlalu berselindung bahawa kedua-dua mereka kini dalam fasa mengenali satu sama lain.
“Sebenarnya, perkara itu terjadi secara spontan sewaktu kami bersiaran langsung (di TikTok). Ia berlaku tanpa dirancang, tetapi kalau tiada perasaan, takkan menjadi seperti itu juga.
“Perasaan itu maksud saya, untuk mengenali dan mendekati. Begitulah lebih kurang, mungkin panggilan ‘sayang’ itu untuk masa akan datang kot?
“Mula-mula memang tersasul, tetapi sekarang ini biarlah apa orang nak cakap. Kalau cuba berlakon atau berselindung, orang kata nampak dibuat-buat pula. Apa sahaja yang datang dari hati, biarkan saja,” katanya kepada Harian Metro.
Vida bagaimanapun mengesahkan bahawa kemesraan mereka bukan untuk dijadikan kandungan media sosial semata-mata dan mengucapkan terima kasih kepada netizen yang mendoakan.
“Setakat ini, ia bukanlah sekadar ‘content’. Saya sangat berterima kasih kepada netizen yang ikhlas mendoakan kami.
“Kalau ikutkan, dulu ada juga yang berkata ‘Menyampahlah, dah tua’ dan sebagainya, tetapi sekarng mereka tahu benda itu bukan dibuat-buat,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial klip video memaparkan Vida dan Fazley bersiaran langsung di TikTok dengan ditemani anak lelakinya, Kacak.
Fazley kemudian bertanya sama ada Vida ingin minum dengan panggilan sayang. Selepas itu, pada sesi lain juga Fazley turut dilihat beberapa kali memanggil Vida dengan panggilan romantik itu.
Baca juga: PM Anwar umum tambang percuma 30 hari, tanda penghargaan Kerajaan Madani