Seorang wanita meluahkan rasa sangsi di media sosial, mendakwa seorang anggota polis telah merampas telefon bimbit milik tunangnya dan memeriksa galeri telefon tanpa keizinan.
Menerusi perkongsian di Threads, wanita itu berkata, dia dan tunangnya sedang memandu di sekitar Ampang sambil memperlahankan kenderaan untuk menikmati pemandangan sebelum menyedari sebuah kereta peronda polis berada betul-betul di belakang mereka.
Mereka pada mulanya menyangka anggota polis itu mahu menahan sebuah motosikal yang berada di belakang kenderaan mereka, namun terkejut apabila diarahkan berhenti di bahu jalan untuk pemeriksaan.
“Guys nak tanya, tadi saya dengan tunang lalu dekat kawasan Ampang, kemudian nampak ada kereta polis lalu sebelah tapi kita orang buat tidak tahu je.
“Selepas itu tiba-tiba nampak lampu biru betul-betul dekat belakang kereta kami. Kami ingatkan dia nak tahan motor sebab nampak motor dekat belakang, sekali rupanya polis tu tahan kami..
“Dia suruh kami berhenti tepi, tunang saya keluar dan dia terus tanya tunang saya, “ini siapa (ambil tunjuk dekat saya)”. Tunang saya pun jawablah ini tunang dia,” katanya.
Pada waktu itu juga, wanita itu berkata, tunangnya ingin menunjukkan lesen menerusi aplikasi di telefon.
Namun tidak semena-mena, anggota polis tersebut didakwa merampas telefon sebelum memeriksa galeri telefon tanpa keizinan.
“Tunang saya pun ambil lah telefon, sebab ingatkan polis tu nak tengok lesen tapi tiba-tiba dia terus rampas telefon tunang saya dan terus buka galeri secara tiba-tiba. Tunang saya tak persoalkan sebab dia tahu dalam telefon itu tak ada apa pun.
“Tapi dia peliklah kenapa kena geledah sampai ke galeri? dan dia rasa macam privacy dia dicabul. Boleh ke polis buat macam tu?,” tanya wanita itu.
Dia juga menjelaskan bahawa pada waktu mereka memandu perlahan, dengan kenderaan mereka dalam keadaan bergerak dan bukan berhenti di bahu jalan.
Individu itu tertanya adakah seorang anggota polis mempunyai kuasa untuk menggeledah telefon orang awam secara tiba-tiba tanpa sebarang notis dan keizinan.
Di ruangan komen, seorang pengguna Threads mendakwa polis tidak boleh sewenang-wenangnya membuka telefon bimbit atau melihat galeri orang awam tanpa asas undang-undang atau kuasa yang sah.
Menurutnya, orang awam berhak mendapatkan butiran anggota polis seperti nama, pangkat dan nombor badan, selain bertanyakan di bawah kuasa atau kesalahan apa telefon mereka diperiksa.
Pengguna itu turut menasihatkan supaya maklumat seperti masa, lokasi dan rakaman dashcam direkodkan sebagai bukti sebelum membuat aduan kepada balai polis, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) atau Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).
Baca juga: Akses awal BUDI Diesel berjalan lancar, 1 juta liter minyak subsidi terjual hari ini!