PM Anwar umum tambang percuma 30 hari, tanda penghargaan Kerajaan Madani

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian tambang percuma selama sebulan untuk perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan bas perantara Laluan Shah Alam bermula esok sehingga 31 Julai Depan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan itu memaklumkan bahawa inisatif tersebut dilaksanakan sebagai tanda penghargaan kerajaan Madani khususnya kepada pengguna perkhidmatan awam di negara ini.

Khabar gembira tersebut dikongsikan pemimpin nombor satu negara itu dalam Majlis Peluncuran Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang turut disampaikan menerusi hantaran dimuat naik di akaun Facebook miliknya.

“Burung merpati terbang sekawan, Datang kenari iring ke selat, LRT laluan Shah Alam kini dilancarkan, 30 hari tambang percuma dinikmati rakyat,” katanya dalam perkongsian di platform Facebook berkenaan.

Terdahulu, beliau tiba di Depoh LRT Johan Setia selepas menaiki LRT 3 Laluan Shah Alam sebelum menyempurnakan Majlis Peluncuran Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Laluan Shah Alam di Stesen LRT Johan Setia sebentar tadi.

LRT3 Laluan Shah Alam dari Bandar Utama ke Johan Setia itu menghubungkan Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang menerusi 20 stesen sepanjang 37.8 kilometer (km), termasuk 2.5 km laluan bawah tanah.

Laluan tersebut siap sepenuhnya dan sedia untuk beroperasi pada Isnin dengan perkhidmatan bas perantara di sepanjang laluan turut diberikan secara percuma dalam tempoh sama bagi memudahkan orang ramai.

Baca juga: “Pengorbanan mereka tak dipandang ringan” – Kuarters PDRM di Johor terima peruntukan RM1 juta