Selepas pengunduran tergesa-gesa yang menghina lagi memalukan bagi sesebuah kuasa besar, jika hendak diketahui inilah tabiat buruk Amerika Syarikat (AS), segala najis, kekejaman dan sampah yang ditaburkan di Afghanistan selama 20 tahun itu kini ditinggalkan supaya rakyat negara tersebut membersihkannya.
Apakah sumbangan AS kepada Afghanistan setelah menduduki negara tersebut dahulu? Tidak perlu mengulas serangan kilat Taliban yang menguasai seluruh bumi Afghanistan dalam seminggu termasuk Kabul namun beberapa soalan timbul.
Dapatkah sebuah kerajaan interim diwujudkan sebagaimana didakwa oleh pihak Taliban? Dapatkah perang saudara dielakkan? Adakah kumpulan pengganas seperti ISIS dan Al Qaeda akan kembali ke Afghanistan seperti dahulunya? Adakah pertempuan antara faksi di wilayah-wilayah di Afghanistan akan diteruskan dan tanaman pohon popi dikembangkan lagi?
Adakah Afghanistan terjunam ke dalam kacau bilau dan keganasan yang berterusan dan menidakkan rakyat mendapat pendidikan dan pembangunan dan adakah Rusia dan China serta Iran dan Turki akan campur tangan dalam urusan negara tersebut?
Soalan-soalan ini sukar untuk dijawab untuk waktu sekarang tetapi inilah soalan-soalan yang perlu terlebih dahulu dijawab AS dan negara anggota Nato kerana mereka adalah sebahagian daripada masalah tersebut.
Bagaimana kempen menentang keganasan dan menangkap Osama bin Laden membuat AS menduduki Afghanisan telah menjadi suatu malapetaka buat AS. Penduduk Afghan selepas 10 tahun menderita daripada peperangan dengan Soviet pada 1980-an kemudian keamanan seketika dan menderitai selama 20 tahun dalam situasi yang tidak dapat dibayangkan.
Jika Afghanistan dibiarkan berada di tangan ketua-ketua wilayah dan ketua-ketua dadah maka setiap rakyatnya akan terus tenggelam dalam kezaliman dan negara tersebut akan menjadi medan latihan untuk ISIS dan Al Qaeda.
AS dan sekutunya telah melabur berbilion dolar dalam membangun dan melatih tentera Afghanistan termasuk tentera udara, komando dan polis. Sejak 2001, AS sahaja telah membelanjakan sejumlah AS$83 billlion ke dalam sektor pertahanan. Apa sudah jadi?
Perkara biasa seperti rasuah, salah guna kuasa, kleptokrasi, menjaga kepentingan keluarga dan kelompok merupakan resepi yang membawa kejatuhan kerajaan boneka AS dan menbawa kepada kemunduran AS dan sekutunya daripada bumi Afghanistan. Mereka memandang rendah terhadap kekuatan Taliban.
Contohnya sumber-sumber daripada Journal Foreign Policy berkata polis Afghan tidak dibayar selama berbulan-bulan oleh Kementerian Dalam Negeri. Sumber-sumber lain pula menyebut perkara yang sama dengan Kementerian Pertahanan, meskipun sudah wujud bayaran gaji menggunakan mesin ATM.
Di kebanyakan kawasan, tentera dan polis dibekalkan dengan makanan, water dan peluru serta senjata yang mencukupi. Senjata, peluru dan peralatan lain dijual di pasar gelap dan kebanyakannya dibeli pihak penentang. Kebanyakan tentera tidak ikut arah di pos kedudukan mereka kembali ke rumah mempertahankan keluarga, rumah, tanah dan kawasan mereka.
Segala kecanggihan teknologi dan kehebatan unit marin dan penembak hendap atau sniper (seperti yang ditonton dalam filem ‘Sniper’) hanya gah dan propaganda di kaca TV. Dalam realitinya pun penggunaan dron dan penjejakan musuh melalui satelit, serangan udara B-52 dan bom kapet masih gagal menahan kemaraan tentera Taliban.
Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan pada awal abad ke-20 ini, AS adalah regim paling kejam di planet bumi sekarang. Bayangkan berapa banyak pengkalan tentera yang dimilikinya di luar negara, mengadakan peperangan yang membunuh jutaan manusia dan membawa kepada jutaan manusia kehilangan tempat tinggal dan menjadikan manusia sebagai pelarian.
Segala sekatan ekonomi yang dibuatnya telah menyebabkan ramai kebuluran dan telah memusnahkan banyak negara yang ditakluki dan dicampuri urusan dalam negara tersebut melalui kudeta CIA, tentera boneka dan proksi, penaklukan penuh dan separa dan gangguan semasa pilihan raya di sesebuah negara itu.
Tradisi manipulasi geopolitik rantau tersebut di mana empayar British yang berhasrat menguasai rantau benua kecil India ternyata gagal, kemudian kemasukan Kesatuan Soviet dan AS lari lintang pukang, bayangan dan citraan sang penakluk baharu harus dikuburkan sebaliknya jiran-jiran di rantau tersebut seperti Rusia, China, Iran, Turki, Pakistan, India, Arab Saudi dan negara-negara Teluk harus merintis usaha kerjasama ekonomi dan berkongsi kepentingan bersama.
China tentu akan mengambil kesempatan ini untuk menarik Afghanistan ke dalam Laluan OBOR atau One Belt One Road (satu kawasan satu laluan) yang diharap tidak digunakan untuk menguasai wilayah Afghanistan dengan bantuan ekonomi yang menjerat Taliban. Mungkin China harus berhati-hati dengan Taliban, negara yang berjaya menghalau tiga negara empayar dunia.