Agong terima Kabinet PN letak jawatan, tidak adakan PRU sekarang

Oleh BORHAN AHMAD

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan Kabinetnya serta-merta berkuatkuasa hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda bagaimanapun memutuskan untuk melantik Mahiaddin menjadi Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

“Susulan daripada peletakan jawatan ini, Seri Paduka Baginda telah berkenan supaya Mahiaddin menjalankan tugas sebagai ‘caretaker’ Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

“Ini adalah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan Istana Negara hari ini.

Pada masa sama, Seri Paduka Baginda turut menitahkan bahawa pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan satu pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat.

Tambah kenyataan itu, baginda telah berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Haji Abdul Ghani Salleh pada jam 11 pagi tadi di Istana Negara.