Agong zahir nasihat tegas, warga tentera wajib berpegang teguh kepada integriti dan amanah

Oleh MALAYSIADATELINE

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat tegas kepada Panglima Tentera Darat (PTD) yang baharu, Jeneral Datuk Azhan Md Othman agar memastikan seluruh warga tentera darat berpegang teguh kepada nilai integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.

Menerusi satu hantaran di platform Facebook, Seri Paduka Baginda bertitah dengan menegaskan rasuah merupakan musuh utama kepada kekuatan serta kredibiliti angkatan pertahanan negara dan sebarang bentuk salah guna kuasa atau penyelewengan tidak boleh diterima sama sekali,

Sultan Ibrahim sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut memberi peringatan bahawa kepemimpinan berintegriti bermula dari peringkat tertinggi dan PTD hendaklah menjadi contoh teladan dalam membudayakan tadbir urus yang bersih, telus serta bertanggungjawab.

“Sebelum ini, sudah beberapa kali saya menegaskan mengenai ‘orang tengah’ atau ejen di Kementerian Pertahanan. Sepatutnya, mereka semua ini tidak boleh dibenarkan masuk,” titah Seri Paduka Baginda dalam hantaran tersebut.

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan harapan agar Tentera Darat Malaysia (TDM) terus dihormati dan diyakini rakyat sebagai sebuah angkatan profesional serta bebas dari amalan rasuah demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Jeneral Datuk Azhan Md Othman selaku PTD yang baharu di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur hari ini di mana beberapa keping gambar memaparkan pertemuan itu turut dimuat naik dalam hantaran tersebut.

Sekadar info, Jeneral Datuk Azhan secara rasmi dilantik sebagai PTD ke-31 berkuat kuasa 1 Januari lalu dan perlantikan itu selaras dengan keputusan Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November 2025 serta diperkenankan oleh Sultan Ibrahim pada 1 Disember 2025.

Baca juga: Belum apa-apa, poster filem Mami Jarum pula dikritik netizen