Ramai pembeli ‘complain’ air mineral berbau macam petai, ini penjelasan Spritzer

Oleh WAN SITI AMINAH

Syarikat pengeluar air mineral terkemuka, Spritzer tampil menjawab dakwaan yang tular di media sosial baru-baru ini berhubung isu bau tidak menyenangkan melibatkan minuman botol keluaran terbaharunya.

Hal ini berikutan ramai pelanggan berkongsi rungutan di media sosial terutamanya di platform Threads mendakwa air minuman botol Spritzer pada tahun ini terasa berbeza dari sebelumnya malah berbau busuk.

Menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di platform X, Spritzer berkata pihaknya mengambil maklum mengenai dakwaan pembeli berhubung bau tidak menyenangkan pada beberapa botol Spritzer Natural Mineral Water.

Justeru itu, Spritzer tampil memohon maaf atas kesulitan dihadapi oleh pembeli malah telah mengambil tindakan segera dengan menjejak kelompak pengeluaran untuk menjalankan ujian terperinci terhadap minuman tersebut.

Spritzer menerusi kenyataan sama memberitahu bahawa siasatan lanjut berhubung dakwaan bau busuk itu sedang dijalankan namun hasil ujian awal mendapati air mineral tersebut selamat untuk diminum.

“Kami telah mengambil tindakan segera termasuk menjejak kelompok pengeluaran, melakukan ujian yang terperincu serta menjalankan audit terhadap proses pengendalian, penyimpanan dan pengangkutan.

“Ujian awal mengesahkan bahawa air tersebut selamat untuk diminum dan siasatan lanjut sedang dijalankan. Air botol boleh menyerap bau jika disimpan berhampiran bahan berbau kuat.

“Sila simpan di tempat sejuk, kering dan habiskan segera selepas dibuka. Untuk bantuan atau penukaran, sila kemukakan kod kelompok, butiran pembelian ketika menghubungi Spritzer,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, beberapa pelayar platform Threads berkongsi rungutan mereka mengenai aroma tidak menyenangkan datang daripada air mineral tersebut yang pada mulanya disangka berpunca daripada bau mulut.

Namun rungutan mereka rupanya bukan hanya sekadar pendapat peribadi apabila ramai pengguna media sosial mengakui berhadapan masalah sama selepas membeli air minuman tersebut.

Baca juga: Isu KRW FC makin panas, 14 Ogos jadi penentu nasib boleh bertanding atau tidak dalam Liga