Kontroversi membabitkan Kelantan Red Warrior (KRW) FC dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terus mencetuskan gelombang panas dalam arena bola sepak negara.
Isu ini bukan sekadar mengganggu reputasi Liga A1 Semi Pro, malah turut menggores imej Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selaku badan induk bola sepak tanah air.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman ketika mengulas perkara itu berkata, keputusan muktamad mengenai nasib KRW hanya akan diketahui pada 14 Ogos ini lapor Berita Harian.
Tarikh yang bakal menentukan sama ada kelab dari Pantai Timur itu terus diberi peluang bersaing dalam Liga A1 Semi Pro atau disingkirkan sebelum sempat turun padang.
“KRW sudah menghantar surat maklum balas kepada FIFA mengikut tempoh yang ditetapkan dan kita sedang menunggu keputusan. Sama ada mereka boleh bertanding atau tidak, kita akan tahu pada 14 Ogos.
“Kalau ikutkan memang ada kesan kepada imej kita, tapi benda ini kita terpaksa hadapi.
“Pasukan sepatutnya tahu apa yang mereka nak buat, menilai dan mengkaji sebelum menandatangani pemain atau membuat sebarang keputusan
“Ia tak membabitkan kita, patutnya pasukan yang ditubuhkan mereka harus pastikan bahawa mereka tiada hubungan (dengan pasukan lama).
“Kita memang galakkan semua pasukan untuk bertanding,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Sebelum ini media melaporkan Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pihaknya juga menunggu keputusan FIFA sebelum memutuskan sama ada KRW akan dikekalkan atau digugurkan daripada Liga A1 Semi Pro musim ini.
Difahamkan, keputusan FIFA itu juga memaksa AFL menangguhkan beberapa perancangan liga sehingga tarikh pengumuman rasmi.
Baca juga: ‘Sejak kerap ‘travel overseas’ dah tak sanggup nak kutuk negara sendiri’ – luahan rakyat Malaysia