“Aku kena marah ke ni?” – Minta kubis ‘extra’, tapi dapat ini?

Oleh MAISARAH AISYA

Seorang pengguna media sosial mencuri perhatian ramai apabila berkongsi pengalaman lucu namun sedikit mencemaskan selepas membuat pesanan makanan hanya kira-kira 30 minit sebelum waktu berbuka puasa.

Menerusi beberapa hantaran di Threads, individu dikenali sebagai Nreisyalis mempersoalkan sama ada dirinya dimarahi oleh pihak kedai susulan pesanan dibuat pada saat akhir.

“Aku kena marah ke ni? Janji lepas ni tak buat pesanan 30 minit sebelum berbuka dah,” tulisnya berserta emoji menangis.

Menurutnya, keputusan membuat pesanan lewat itu berpunca daripada pengaruh media sosial yang dipenuhi dengan kandungan ayam gepuk sehingga membuatkan dia terliur dan akhirnya membuat pesanan sekitar jam 7 malam.

Dalam perkongsian sama, dia memaklumkan ada meletakkan nota tambahan semasa membuat pesanan untuk mendapatkan kubis lebih.

Gambar dikongsi menunjukkan sebungkus ayam gepuk yang masih berbalut kertas perang dan turut kelihatan sebiji kubis yang dipotong separuh.

Bagaimanapun, dia merasakan mungkin berlaku salah faham terhadap mesej yang dihantar kepada pihak kedai kerana menggunakan banyak tanda seru.

“Betullah mungkin staf salah faham sebab letak banyak tanda seru, tapi korang faham tak aku ni jenis bila rasa serba salah.

“Tanda seru tu ibarat aku nak highlight betapa aku rasa bersalah dan minta maaf,” jelasnya.

Dia juga sempat memohon maaf secara terbuka sekiranya staf yang membungkus pesanannya terbaca perkongsian tersebut,

Malah sempat berjanji tidak akan mengulangi tindakan membuat pesanan pada saat akhir.

Baca juga: RON95 akan kekal RM1.99 ke tidak selepas ini? Menteri Ekonomi tampil jelaskan