Seorang gadis tidak menyangka dirinya bakal diperli dan digelakkan oleh pekerja di hospital hanya kerana menjerit kesakitan ketika mahu bersalin.
Lebih memburukkan keadaan, pekerja hospital terbabit turut memberi layanan buruk kepada wanita berkenaan sejak ibu mengandung itu ‘tinggal’ di dalam wad bersalin.
Berpendapat bahawa layanan diberikan itu berpunca dari statusnya yang tidak bersuami, berikut perkongsian dari wanita bernama Orked mengenai pengalamannya ketika bersalin.
“Saya Orked. Ini kisah saya dan harapnya orang ramai boleh mengambil pengajaran. Saya pernah terlanjur. Hasil daripada keterlanjuran itu, saya mengandung. Kejadian bermula pada bulan Oktober 2023. Saya kenal seorang lelaki dari sebuah platform di atas talian. Selepas beberapa minggu berkomunikasi, kami putuskan untuk bertemu.
“Lelaki itu ambil saya dari pejabat dan kami keluar makan malam bersama. Apa yang jadi ketika malam itu hanya tinggal sejarah. Kemudian haid saya datang lewat. Selepas dua minggu lewat, barulah saya buat ujian kehamilan. Keputusannya positif. Dunia saya menjadi gelap. Ketika itu, saya tak tahu nak buat apa ataupun nak beritahu sesiapa.
“Saya juga tak beritahu bapanya walaupun kami masih berhubung. Kenapa? Sebab saya dapat tahu yang dia adalah duda anak satu. Malah, anak yang seorang itu pun dia culas nafkah. Cuba fikirkan, kalau anak kandung sendiri yang dia peroleh secara halal pun boleh lagi culas nafkah apatah lagi dengan anak saya kandungkan ini.
“Sudah tentulah lelaki itu tak akan ambil kisah langsung. Jadi saya sorok kandungan ini daripada dia. Sebab dalam masa yang sama, saya tak nak kehilangan dia. Makin lama saya luangkan masa dengan lelaki itu, semakinlah diri ini sayangkan dia. Saya keliru sebenarnya, sama ada saya betul-betul sayang atau ini hanyalah ikatan batin.
“Ikatan yang ada kerana saya mengandung anaknya. Saya bersyukur sangat kerana di sepanjang kehamilan, tak pernah alami sebarang alahan atau mabuk hamil. Cuma penat-penat biasa sahaja. Saya juga bersyukur yang orang sekeliling tak perasankan kehamilan ini sampai saat akhir. Perut saya ketika mengandung memang tak besar.
“Sekali tengok, macam perut kembung sahaja. Namun pada bulan March 2024, saya dapat tahu lelaki itu ada teman wanita. Hati saya hancur. Saya salahkan diri sendiri sebab mudah percaya dan terlalu cepat sayangkan dia. Saya cuba untuk melupakan semua tetapi sangat susah. Mungkin sebab saya sedang mengandungkan anak dia.
“Saya cuba mengawal perasaan dan berusaha sedaya upaya untuk melupakan lelaki itu. Memang perit, tetapi saya tahu dia tak akan kembali kepada saya. Jadinya, saya hanya jalani kehamilan ini tanpa ada seorang pun tahu. Saya rasa sunyi. Beberapa kali juga saya mencuba untuk mengugurkan kandungan tetapi tak pernahlah berjaya.
“Anak saya kuat. Mungkin dia mahu mengajar ibunya untuk menjadi orang yang kuat semangat dan jangan mudah mengalah. Pada bulan Jun 2024 lalu, barulah saya ada keberanian untuk periksa kandungan buat pertama kali. Saya pergi ke klinik swasta buat imbasan ultrabunyi (ultrasound) Doktor cakap kandungan sudah 35 minggu.
“Sekali lagi saya buntu. Takut saya tak sempat nak buka buku pink atau uruskan hal kerja. Saya cuba untuk bertenang sebelum mula merancang supaya keadaan tak jadi terlalu kelam kabut ketika bersalin nanti. Bulan Julai 2024, saya masih belum buka buku pink. Sejujurnya saya masih tak percaya yang diri sendiri ini sudah nak bersalin.
“Saya masih berharap bayi ini akan gugur dengan sendiri. Tetapi anak saya sangat kuat. Akhirnya saya ambil keputusan untuk hubungi satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Sebab saya tahu, tak boleh uruskan semuanya sendiri. Saya juga mengambil keputusan untuk beri anak kepada keluarga angkat. Saya tak mampu menjaganya.
“Daripada segi kewangan, mungkin masih mampu. Tetapi dari segi lain pula, saya tak boleh. Tak boleh beritahu keluarga, kawan-kawan atau orang sekeliling saya. Selain itu saya tak nak anak dibesarkan dengan stigma atau tanggapan negatif. Saya juga tak mahu anak dibuli suati hari nanti hanya sebabkan dia tiada insan bergelar ayah.
“Saya juga tak nak anak membesar tanpa mendapat kasih sayang daripada seorang ayah. Jadi saya buat keputusan untuk beritahu lelaki itu yang dalam perut ini sedang kandungkan anak dia. Jawapan lelaki itu buatkan saya semakin sedar yang dia tak peduli langsung dengan keadaan diri ini. Sedar di mana tempat saya di matanya.
“Saya hanya maklumkan kepada lelaki itu yang anak kami ini akan diberikan kepada keluarga angkat. Saya juga tak akan menuntut apa-apa dari dia. Hanya nak dia tahu ada seorang lagi zurit lahir dari benih dia selain anaknya bersama bekas isteri. Saya memang tidak mengharapkan apa apa daripada dia, baik masa atau wang ringgit.
“Saya tak perlukan semua itu daripada lelaki itu. Saya sudah tawar hati. Ketika itu, saya hanya mahu anak ini selamat dilahirkan. Wakil daripada pihak NGO yang saya hubungi temankan untuk buka buku pink. Nasib baiklah saya ada surat rujukan dari klinik semasa saya buat imbasan. Dapatlah saya buka buku pink pada hari sama.
“Saya hadaplah segala bebelan daripada jururawat di klinik kesihatan. Saya senyum sahaja sepanjang di sana. Saya tak nak sedih, tak naklah berdrama di sana. Selepas berjumpa doktor dan buat imbasan semula, saya diberitahu yang usia kandungan ini sebenarnya 36 minggu. Dapat tahu juga jantinanya. Bersyukur semua dimudahkan.
“Tidak sampai seminggu selepas membuka buku pink, saya selamatlah melahirkan anak. Keluar awal daripada tarikh jangkaan lahir. Walaupun rasa ralat, tetapi saya tetap bersyukur anak dilahirkan dengan selamat dan sihat. Semasa berada di Pusat kemasukan Pesakit (PAC), saya diperli dan digelakkan kerana menjerit kesakitan.
“Saya juga dilayan dengan tidak baik kerana tiada suami. Sedangkan saya datang ke hospital sendirian. Pandu sendiri, dari rumah ke hospital. Saya kena marah, perli, kena gelak, dilayan dengan buruk sepanjang di PAC dan bilik bersalin. Tetapi saya reda. Saya tahu kena hadap benda ini sebab mengandungkan anak luar nikah.
“Saya tahu ini kesan dan akibat daripada tindakan diri sendiri. Selepas dipindahkan ke wad, saya memaklumkan kepada NGO yang akan uruskan saya dan anak bahawa zuriat ini selamat dilahirkan. Saya beritahu lelaki itu. Malangnya reaksi dia hanyalah, ‘saya tergamam’. Itu sahaja. Baguslah, saya juga memang tak harapkan apa-apa.
“Apa yang penting, sekarang anak sudah dilahirkan dan ada di samping saya. Sejuk hati tengok mukanya yang tak berdosa. Comel, ada iras lelaki itu sedikit. Anak soleh, mendengar kata dan baik sangat. Tak banyak ragam, sangat mudahlah diuruskan. Saya yakin yang dia tahu ibunya sudah melalui macam-macam perkara sebelum ini.
“Jadi anak saya nak mudahkan semuanya untuk ibu dia. Saya bahagia dengan anak. Selepas tiga hari di wad, saya dan saya dibenarkan pulang. Berlindung sementara di rumah NGO tersebut untuk menunggu proses pengangkatan anak selesai. Syukur Alhamdulillah, saya dapat spend masa bersama anak selama seminggu
“Sepanjang seminggu dengan anak, saya bahagia sangat-sangat. Betul orang kata, rasa sakit bersalin itu hilang apabila tengok muka anak. Alhamdulillah, saya dapatlah menyusukan anak. Rezeki saya, susu badan ketika itu juga sangat-sangat banyak. Anak saya hampir tak minum susu formula. Pekerja di rumah itu juga sangat baik.
“Mereka jaga saya dan anak dengan sangat baik. Waktu malam, mereka akan jaga supaya saya dapat berehat. Waktu siang pula saya akan habiskan masa dengan anak saya. Makan minum saya dijaga dengan sangat baik. Dari mula mengandung, sampailah selamat melahirkan, inilah saat yang paling bahagia saya rasa.
“Tak sunyi langsung. Saya bersyukurlah sebab Allah hadirkan orang yang baik-baik dalam hidup saya. Tetapi bahagia saya hanyalah sementara. Genap seminggu, anak saya diserahkan ke keluarga angkat. Sudah dapat ibu ayah baru yang boleh jaga dia dengan baik. Anak saya juga akan memperolehi masa depan yang lebih cerah.
“Anak saya akan dapat keluarga yang sayangkan dia dengan sepenuh hati dan raih pendidikan yang sewajarnya. Sedih, tetapi saya tahu inilah adalah keputusan yang terbaik untuk anak. Saya sayangkan anak, tetapi terpaksa. Lamalah saya menangis. Hari ini, anak saya genap dua minggu pada hari sama perkongsian ini dituliskan.
“Sudah hampir seminggu dia dengan keluarga angkat. Setiap kali tengokkan gambar anak, saya akan menangis. Sedih dan marah. Saya menderita kesedihan disebabkan terpaksa serahkan anak yang disayangi kepada orang lain. Lelaki itu? Sibuk bercinta, berbahagia dan beromantika dengan pasangan dia. Dia tak ambil peduli langsung.
“Sama ada tentang anak atau saya, tak pernah sekali pun lelaki itu bertanya khabar. Jumpa anak jauh sekali. Saya terseksa. Kena tanggung semua kesedihan ini seorang diri. Tak boleh kongsi dengan sesiapa, hanyalah boleh mengadu kepada Allah. Saya percaya Allah sebaik-baik perancang. Semua yang Allah susun ini ada hikmahnya.
“Allah nak saya sedar dan tidak terus hanyut dan sesat. Saya reda walaupun sedih. Saya percaya anak akan dijaga dengan baik. Kepada anak, ibu harap kamu akan teruslah menjadi anak yang baik, soleh, mendengar kata, mudahkan urusan semua orang, taat, cerdik, pintar, cerdas dan manusia yang berjaya di dunia serta akhirat.
“Harap kamu tak bencikan ibumu. Semoga dapat membesar dengan baik. Ibu harap kamu tak jadi macam ibu atau lelaki itu. Semoga menjadi seorang lelaki yang mampu bertanggungjawab dan hormat wanita. Harap kamu dapat memimpin masuk ibu ke syurga kelak. Ibu sayang anak ibu. Minta maaflah sebab tak dapat nak jaga awak.
“Semoga ada rezeki kita untuk berjumpa semula ya sayang? Doa ibu sentiasa iringi kamu. Ibu janji akan jaga diri sendiri dan cuba kuat demi kamu. Ibu rindu kamu. Rindu yang teramat sangat. Ibu rasa rindu ini tiada penghujung.” Kongsi Orked (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian.
Baca juga: “Cuba kalau bab zuriat itu tanya pula kepada para suami, aku naik muak nak hadap”