AMANAH bertekad memastikan usaha-usaha membantu mangsa banjir besar di Pahang dilaksanakan secara berkesan demi meringankan beban rakyat yang terjejas.
Hal ini dibuktikan dengan penglibatan pemimpin utama di peringkat nasional yang turun padang ke Pahang dengan banjir yang telah menjejaskan lebih 42,000 penduduk setakat siang tadi.
“Setibanya dari Kuala Lumpur lewat petang tadi, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub telah mendengar taklimat tentang perkembangan banjir di Temerloh,” dipetik dari Facebook rasmi Parti Amanah Negara.
Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Wira Hatta Ramli turut sama mendengar taklimat yang disampaikan oleh Ketua Pusat Operasi Bencana Alam (POBA) Temerloh, Jalani Ludin.
“Segala gerak kerja penghantaran bantuan kpd mangsa banjir akan dikoordinasi dari Bilik Gerakan Sementara POBA Temerloh,” katanya.
Antara tindakan yang dilakukan dalam membantu mangsa banjir ialah menyumbang peralatan keperluan seperti lilin, makanan dan tikar.
Pada masa sama, keadaan banjir di Mentakab juga ditinjau selain melawat beberapa pusat pemindahan sementara (PPS).
Setakat hari ini terdapat 82 PPS melibatkan 3,098 keluarga terdapat di Parlimen Temerloh.