Keluarga kepada legenda seni tanah air, Allahyarham Hamid Gurkha mendakwa mereka belum menerima hadiah berupa wang tunai yang dijanji Astro sejak tahun lalu.
Wang tunai berjumlah RM10,000 yang sepatutnya diterima oleh Hamid Gurkha itu masih belum dilunaskan oleh pihak Astro sehinggalah Allahyarham meninggal dunia.
Anak ketujuh Allahyarham, Nor Azian berkata bahawa pelawak terkenal itu diberikan Anugerah Sepanjang Zaman MELETOP di Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021).
Difahamkan, dalam majlis yang diadakan pada 29 Mei tahun lalu itu, arwah sepatutnya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 bersama anugerah tersebut.
Namun walaupun setahun sudah berlalu, hadiah wang tunai itu dikatakan masih tertunggak dan belum diterima oleh pihak keluarga selepas arwah meninggal dunia pada 14 Jun tahun lalu.
Nor Azian yang hampir lupa mengenai hadiah tersebut segera bertindak menghubungi pihak produksi Astro selepas diingatkan oleh ibunya, lapor Harian Metro.
“Sebulan selepas itu, bapa meninggal dunia pada 14 Jun tahun lalu. Sebenarnya selepas program berakhir, kami tunggu duit masuk tapi sehinggalah dia meninggal dunia pun tiada juga.
“Kami pun macam dah terlupa berkenaan duit itu. Kemudian emak ingatkan hal ini dan saya hubungi produksi AME2021 dan diberitahu wang itu ada, namun kami perlu berikan dokumen kematian dan sebagainya.
“Saya berhubung dengan wakil produksi bernama Lala yang banyak membantu. Saya bagi dokumen ini yang diserahkan kepada Jabatan Kewangan dan Undang-Undang, tapi selepas itu mereka diam saja,” katanya memetik Harian Metro.
Azian kemudian dimaklumkan oleh pihak Astro bahawa hadiah itu telah difaraidkan kerana sudah menjadi pusaka dan diminta untuk membuat surat.
Oleh kerana adik-beradik bersetuju untuk menyerahkan kesemua wang kepada ibu, Azian menghantar surat bagi menyatakan hasrat (serah hak pada ibu) mereka itu.
Lala kemudian memberitahu Azian bahawa dokumen tersebut tidak diterima oleh pihak Jabatan Undang-Undang kerana tiada pengesahan daripada mahkamah.
Namun, selepas membuat rujukan dengan pejabat agama mengenai tuntutan faraid, Azian diberitahu bahawa surat itu seharusnya diterima kerana semua adik-beradik sudah bersetuju.
“Kemudian mereka (Astro) kata kena ambil peguam pula. Bagi saya, takkan perkara ini nak kena guna peguam. Agak rumit nak bayar peguam sedangkan wang yang dituntut cuma RM10,000.
“Kakitangan mahkamah yang kami jumpa pun tak galakkan guna peguam dan minta kami angkat sumpah. Saya masih tunggu sampai sekarang. Kasihan dengan mak dan arwah bapa.” Ulasnya.
Menurut Azian, masalah ini berterusan apabila pihak Astro masih membisu dan berdiam walaupun surat angkat sumpah melibatkan adik-beradiknya telah diserahkan.
Bakal memberikan penjelasan dalam masa terdekat, Ketua Saluran Astro Ria, Warna & Prima, Norzeha Mohd Salleh berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada pasukan serta penerbit AME.