Satu rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki yang sedang menangis akibat kepenatan telah tular di media sosial baru-baru ini.
Dalam kejadian yang dipercayai berlaku di sekitar Pantai Klebang, Melaka itu, kanak-kanak berkenaan mendakwa dirinya telah dipaksa menjual nasi lemak.
Sambil menangis, anak kecil itu mengaku kepenatan kerana hanya dibenarkan pulang ke rumah oleh abangnya selepas bekalan nasi lemak tersebut habis dijual.
Tular di media sosial, kejadian tersebut dikongsi oleh seorang pengguna TikTok menerusi satu hantaran yang dimuat naik di platform sosial media berkenaan.
Menceritakan semula kejadian tersebut, perakam video berharap penjaga khususnya ibu bapa berhenti menggunakan anak kecil untuk meraih pendapatan keluarga.
Hal ini kerana, individu tersebut berpendapat kanak-kanak seumur itu seharusnya meluangkan masa tinggal di rumah untuk bermain bukanlah keluar mencari rezeki.
“Tolonglah ibu bapa, berhenti memaksa anak-anak keluar mencari rezeki untuk kepentingan sendiri. Kalau mereka sudah kepenatan tolonglah jangan memaksa.
“Ketika kejadian, kami tengah berehat di tepi pantai sebelum pulang ke rumah. Tiba-tiba budak ini datang terus menangis sambil cakap penat dan minta beli Nasi Lemak RM1.
“Katanya, abang tak benarkan pulang selagi tak habiskan. Mula-mula perlahan, lama-lama semakin kuat pula menangis. Jadi kami memutuskan untuk membantunya,” cerita pemilik akaun.
Mengundang perasaan simpati, rata-rata pengguna menyelar tindakan penjaga yang mengambil kesempatan kepada anak kecil demi meraih keuntungan.
Ramai juga individu yang berharap agar pihak berwajib lebih peka dengan nasib kanak-kanak dan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu berkenaan.
“Kerajaan perlu menggubal undang-undang untuk menghalang kanak-kanak bawah umur bekerja. Sila ambil tindakan terhadap ibu bapa mereka. Kasihan,” kata seorang pengguna.
“Jangan mewajibkan anak-anak mencari rezeki untuk keluarga. Membantu ibu bapa bolehlah, bukannya mereka yang perlu berusaha.” Kongsi pengguna lain.
Sementara itu, ramai juga penonton yang mengaku pernah menyaksikan kejadian sama di seluruh negara di mana kanak-kanak dipaksa mencari rezeki sehingga kepenatan.