“Anak masih kecil, saya kena kerja” – Shamsul Ghau Ghau nekad terus berlakon jika diberi peluang

Oleh MAISARAH AISYA

Pernah menceriakan penonton dengan telatah spontan dan karakter bersahaja di kaca televisyen, pelakon Shamsul Ghau Ghau terus menunjukkan semangat luar biasa sebagai anak seni.

Walaupun kini berdepan cabaran kesihatan, dia tidak menjadikan ujian itu sebagai alasan untuk berdiam diri malah semakin gagahkan diri untuk bekerja.

Jelas Shamsul, dia tidak menganggap tanggungjawab mencari rezeki sebagai bebanan memandangkan anak-anak masih kecil lapor Kosmo! Online.

“Saya akan terima tawaran (lakonan) dan saya akan bekerja.

“Saya ada anak-anak dan keluarga yang perlu disara. Saya kahwin pun sudah lewat, anak-anak pun masih kecil-kecil lagi, jadi saya kena kerja.

“Tak mengapa, sebab apa yang Tuhan bagi ini adalah yang terbaik untuk saya. Jadi saya terima, kalau kata esok ada kerja dan ada rezeki, bila saya dah okey saya akan kerja balik,” katanya seperti Kosmo! Online.

Dalam masa pelakon berusia 57 tahun itu memaklumkan komplikasi pada bahagian otak memberi impak kepada daya ingatannya buat masa kini.

“Saya bukan sakit perut tapi sakit bahagian otak. Ada ‘clot’ dan sekarang dalam proses pemulihan.

“Insya-Allah, peluang untuk sembuh sepenuhnya itu ada. Saya pun ada melakukan ‘brisk walk’ pada bulan puasa ini, kalau tak dapat lima kilometer (km), saya buat dua atau tiga km.

“Cuma sekarang, tengok muka macam kenal tapi nak ingat nama itu kena fikir dulu. Baru-baru ini saya jumpa Azza Elite, saya ingat-ingat lupa.

“Sama juga bila saya jumpa Noorkhiriah, saya ambil masa nak ingat nama,” katanya lagi.

Tambahnya, kehadiran ke Majlis Iftar Yayasan Nurjiwa merupakan kemunculan pertamanya di khalayak ramai selepas mendapatkan rawatan di hospital.

Shamsul memaklumkan bahawa tempoh hari doktor memberitahu keadaan yang dialaminya merupakan satu kejutan dan dia memerlukan kira-kira tiga bulan untuk melihat perkembangan lanjut.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana keadaannya semakin baik walaupun mengakui belum pulih sepenuhnya.

Menurutnya lagi, selepas enam hari menerima rawatan di hospital, ini merupakan kali pertama dia menghadiri acara di luar rumah memandangkan isterinya sebelum ini tidak menggalakkannya keluar.

Kongsinya, dia hadir dengan ditemani dua anak selepas dimaklumkan bahawa Yayasan Nurjiwa ingin menyampaikan sumbangan kepadanya.

Baca juga: Duit deposit terbang! Penyanyi pun jadi mangsa ‘scam’ slot restoran Rembayung palsu