Anak Najib akui pernah cuba minta kerja di Goldman Sachs

Oleh ARIF ATAN

Nooryana Najwa mengakui ada bertanya sama ada bank Amerika Syarikat (AS), Goldman Sachs menawarkan peluang pekerjaan berkaitan kewangan dan dasar kerajaan.

Pertanyaan itu ketika dia bertemu dengan bekas Pengerusi Goldman Sachs South Asia, Tim Leissner dan bekas eksekutif Goldman Sachs, Roger Ng.

Bagaimanapun, anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu diberitahu bahawa tawaran pekerjaan kepadanya mungkin jadi konflik kepentingan memandangkan Goldman Sachs ada menjalankan perniagaan dengan kerajaan Malaysia.

Dalam masa sama, Nooryana yang juga isteri Daniyar Kessikbayev itu berkata, peluang bertemu Leissner dan Ng disifatkan sebagai peluang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program penganalisis di Goldman Sachs.

Dia juga menyifatkan peluang berjumpa dengan kedua-dua ahli perbankan profesional kanan itu sebagai usaha membina jaringan dengan individu dalam industri itu bagi mendapatkan pekerjaan kompetitif.

“Saya berminat dalam dasar luar dan kerajaan, saya pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Politik Antarabangsa dan Dasar Luar dari Georgetown University Washington DC, jadi saya mahu mencari pekerjaan yang menggabungkan kewangan dan dasar kerajaan.

“Ya, saya ada bertanya sama ada Goldman Sachs menawarkan pekerjaan seperti itu, dan saya sedia untuk ditemuduga untuk jawatan berkenaan.

“Dan ya, saya dimaklumkan Goldman Sachs ada menjalankan perniagaan dengan kerajaan Malaysia, jadi ia mungkin menjadi konflik kepentingan,” katanya menerusi Facebook, malam tadi.

Terdahulu, Leissner ketika memberi keterangan di mahkamah memberitahu, satu pertemuan antara Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs, Lloyd Blankfein, berlangsung pada 2009 yang membawa kepada satu agenda.

Leissner mendakwa, sebagai balasan kepada perniagaan lumayan, peluang kerja diberikan untuk tiga anak Najib di bank pelaburan multinasional AS itu.

Leissner, 52, yang juga saksi penting dalam perbicaraan jenayah membabitkan Roger Ng, memberitahu perkara itu kepada juri di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York.

Ng dituduh mengaut AS$35 juta (RM146 juta) sebagai ‘sogokan secara rahsia’ dalam dakwaan kecurian berbilion dolar wang pelaburan 1MDB milik Malaysia.

Tim Leissner Nooryana Najwa 1MDB
Tim Leissner

Hadiri temu duga

Mengulas lanjut, Nooryana memberitahu, Leissner yang juga mendedahkan ada membelikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd sebuah kediaman bernilai AS$10 juta (RM41.9 juta) di London membantunya mendapatkan tawaran sebagai pelatih di firma ekuiti swasta global, TPG.

Jelas Nooryana, 34, lagi, pekerjaan di firma itu selaras dengan latarbelakangnya sebagai bekas pelajar dalam bidang dasar luar.

Menurutnya, TPG bertanggungjawab mengumpul dana pelaburan daripada institusi pelaburan strategik seperti tabung pencen dan dana kekayaan berdaulat.

Dia juga berkata menghadiri temu duga untuk jawatan pelatih penganalisis di pejabat TPG London.

“Ya, sebagai pelatih. Bermakna saya berada di kedudukan paling bawah.

“Selain bidang tugas asas, saya juga bertanggungjawab pada tugas sampingan. Sayalah gadis PowerPoint, gadis fotokopi, gadis kopi dan gadis penghantar, selain beberapa tugas lain,” katanya.

Dia turut berkata telah berkhidmat sebagai pelatih selama 11 bulan, sebelum dinaikkan pangkat sebagai penganalisis sepenuh masa dan dipindahkan ke TPG Hong Kong dan bekerja selama 18 bulan.

“Saya kemudian meninggalkan TPG pada Jun 2015 untuk memberi fokus pada perniagaan dan permohonan menyambung pengajian,” kata Nooryana yang ibu kepada dua anak itu lagi.

Dalam keterangan di Mahkamah New York, Leissner juga memaklumkan, BNM membenarkan pemindahan keluar negara wang sebanyak AS$1 bilion daripada 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI), selepas suami gabenor BNM ketika itu disogok supaya ia terlaksana.

Difahamkan, AS$D1 bilion itu termasuk AS$700 juta bagi anak syarikat PSI, Good Star Ltd yang didakwa dikawal oleh ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho.