Tak kenal siapa dia, tapi tindakan lelaki kutip paku ini buat ramai tabik hormat

Oleh MALAYSIADATELINE

Penduduk di Cybersouth meluahkan kebimbangan susulan kejadian taburan paku yang didakwa berlaku di simpang utama menghala ke Cyberjaya, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai aspek keselamatan pengguna jalan raya di kawasan itu.

Perkara itu dikongsikan pengguna media sosial dikenali sebagai umaru.my, yang mendakwa kejadian berkenaan berlaku pada pagi Selasa dan menyifatkan ia sebagai satu bentuk khianat yang semakin membimbangkan.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih rumit kerana kawasan perumahan itu hanya mempunyai satu laluan akses utama yang digunakan oleh lebih 10,000 penduduk setiap hari.

“Disebabkan jalan akses hanya satu untuk lebih 10,000 penduduk, kini penduduk tiada pilihan lain selain bertegang sesama sendiri. Siapa yang untung?” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Rata-rata netizen kemudian melihat tindakan lelaki yang mengutip paku sebagai contoh sikap prihatin yang wajar dicontohi kerana sanggup membantu pengguna jalan raya lain walaupun bukan tanggungjawabnya.

Seorang pengguna media sosial, @nurulnadiaothmarani, mendoakan agar segala urusan lelaki itu dipermudahkan.

“Buat abang yang kutip paku… semoga Allah beri kebahagiaan dunia akhirat. Asbab nak mudahkan urusan orang, semoga Allah mudahkan urusan abang menuju syurga, insya-Allah,” tulisnya.

Tidak lama kemudian, seorang wanita yang dikenali sebagai @fhatin.khadijah tampil memaklumkan lelaki berkenaan ialah suaminya.

“Tu suami saya. Terima kasih atas doanya. Semoga doa-doa ini berbalik kepada sis juga,” katanya.

Seorang lagi penduduk, @snharissa, turut menzahirkan penghargaan terhadap tindakan lelaki itu.

“Terima kasih yang mengutip. Jalan nak U-turn itu bukan hari-hari sibuk, kami warga Cybersouth nak tumpang lalu.

“Kesian warga kita beratur panjang. Terima kasih juga warga Dengkil sebab bagi tumpang lalu,” katanya.

Sementara itu, akaun PKR Sepang memaklumkan kejadian berkenaan wajar segera dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Menurut kenyataan itu, isu akses keluar masuk Cybersouth juga sedang diberi perhatian oleh pihak berkaitan.

Baca juga: RM400 dah mula masuk! Petani dan pekebun kecil jangan terlepas semak bantuan ini