“Anak sampai nak muntah” – Wanita terkejut lihat ulat pada nasi ayam dibeli

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang wanita meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa makanan yang dibeli di sebuah gerai di satu kawasan di Kuala Lumpur, didapati sudah rosak dan berulat ketika mahu berbuka puasa.

Menerusi perkongsian dimuat naik oleh pengguna dikenali sebagai Ajiejah5 di media sosial, dia memaklumkan membeli nasi ayam di sebuah gerai berhampiran kedai serbaneka 7‑Eleven di Jalan Jejaka.

Namun, sebaik sahaja mahu membuka bungkusan makanan tersebut untuk berbuka puasa, dia terkejut melihat keadaan ayam yang didakwa sudah berulat.

Menurutnya, dia segera membawa semula makanan tersebut kepada peniaga bagi memaklumkan keadaan sebenar dan meminta wangnya dipulangkan.

“Semalam beli nasi ayam kat gerai sebelah 7E kat Jalan Jejaka, Maluri. Baru nak buka puasa terus nampak macam ni.

“Saya bawa pergi dan cakap nak duit balik serta suruh dia periksa betul-betul, takut pelanggan lain kena macam saya.

“Saya cakap perlahan saja, tak marah, tapi anak saya sampai nak muntah,” tulisnya di Threads.

Tambahnya lagi, kejadian itu amat mengecewakan kerana ia merupakan kali pertama dia membeli makanan di luar sepanjang bulan Ramadan, namun berdepan pengalaman tidak menyenangkan.

“Nasib baik dah waktu buka puasa. Pertama kalu beli kat luar sepanjang puasa ni, dapat macam ni pula.

“Hati-hati kalau beli nasi ayam, tengok dulu betul-betul takut mereka guna ayam semalam,” ujarnya lagi.

Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian orang ramai yang menasihatkan pelanggan supaya lebih berhati-hati dan memeriksa keadaan makanan terlebih dahulu.

“Kadang-kadang dia terjadi bila makanan tu dibuka ja tak tutup. lalat pun banyak, sebab tu kita tak berani nak beli.

“Tiap-tiap tahun mesti ada kes macam ni. Itu salah satu sebab saya jarang beli di pasar Ramadan. Kena cek dulu, kadang yang menjual macam tak nampak lalat banyak menghurung makanan.

“Mustahil kalau guna ayam semalam boleh berulat, sampah pun dua ke tiga hari baru berulat, takut ada orang dengki je.

“Kembang tekaklah! binatang lain aku okay tau tengok tapi jangan yang ini. Meremang segala bulu roma,” antara komen netizen.

Baca juga: Intan Najuwa lapor polis dakwa diganggu lelaki tak dikenali, siap telefon kelab polo!