Seorang bapa meluahkan rasa bimbang dan marah apabila mendakwa anak perempuannya yang berusia 12 tahun menerima surat berbaur tidak senonoh daripada seorang pemandu van sekolah berusia 68 tahun.
Menerusi hantaran tular di media sosial, lelaki itu mendakwa individu terbabit bukan sahaja memberikan surat berkenaan.
Malah pemandu tersebut didakwa mengeluarkan pelbagai kata-kata yang membuatkan anaknya berasa takut dan jijik setiap kali terserempak dengannya di sekolah.
“Aku nak tanya, apa pendapat korang bila driver van sekolah berumur 68 tahun bagi surat yang menggelikan pada anak perempuan anda berumur 12 tahun?
“Macam-macam lagi ayat yang dicakap secara lisan pada anak sampai anak saya tengok muka dia pun meluat dan takut,” tulisnya.
Lebih mengecewakan, lelaki itu mendakwa majikan pemandu van terbabit enggan memberhentikan pekerja berkenaan walaupun laporan sudah dibuat.
Menurutnya, anaknya kini terpaksa berdepan situasi tertekan kerana masih perlu bertembung dengan lelaki tersebut di kawasan sekolah walaupun tidak lagi menggunakan perkhidmatan van syarikat berkenaan.
Dalam hantaran sama, dia turut memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat dan tangkapan juga sudah dilakukan, namun individu terbabit didakwa dibebaskan semula atas faktor usia.
“Report polis dah buat, tangkapan dah buat, tapi dilepaskan atas faktor umur dan bebas bekerja seperti biasa.
“Masalahnya, anak kita pula yang stress kena hadap bertembung dengan dia hari-hari,” katanya lagi.
Lelaki itu turut mendakwa majikan pemandu van berkenaan mengakui insiden tersebut bukan kali pertama berlaku, namun kes terdahulu tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Susulan itu, dia menasihatkan ibu bapa supaya lebih peka dan mendidik anak-anak mengenai sentuhan serta perbualan tidak selamat bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa gangguan.
Baca juga: Nak majlis intimate, tapi mak nak jemput 1,000 orang…bakal pengantin Gen Z luah kecewa