Trend majlis perkahwinan ‘intimate’ yang biasanya melibatkan kurang 100 tetamu semakin diterima dan mula dipratikkan dalam kalangan pasangan muda.
Namun, tidak semua impian itu menjadi kenyataan termasuk bagi seorang bakal pengantin ini yang kecewa apabila hasrat mengadakan majlis kecil terbantut kerana permintaan keluarga yang mahu menjemput sehingga 1,000 tetamu
Dalam satu perkongsian secara anonymous di X, individu berkenaan berkata, agak mencabar untuk Generasi Z mengadakan majlis perkahwinan secara kecil-kecilan kerana perlu memenuhi permintaan keluarga
“cabaran generasi Z nak kahwin majlis intimate sangat besar ye.
“Ibu aku expect aku buat dekat event hall dengan jemputan 1,000,” kongsinya.
Dia memberitahu bahawa majlis perkahwinannya ditaja sepenuhnya oleh ibu bapanya, namun dia tetap mahukan majlis kecil-kecilan dengan kehadiran teman rapat sahaja.
“Memanglah duit majlis ayah aku tolong, tapi aku nak buat intimate sebab aku nak orang yang betul-betul aku hargai je ada dekat majlis tu. Cukuplah majlis abang aku je jadi tempat reunion,” kongsinya.
Perkongsian itu mendapat pelbagai respon netizen yang berbelah bahagi antara menyokong impian pasangan muda untuk mengadakan majlis yang ringkas dan menyokong impian ibu bapa pengantin kerana majlis tersebut ditaja sepenuhnya oleh keluarga.
Mereka melihat, jika ia ditaja ibu bapa, maka seharusnya tidak menjadi masalah buat bakal pengantin kerana konsep ‘intimate wedding’ ini pada asalnya untuk mendidik anak muda tidak membazir dan mengamalkan konsep ringkas sambil menjimatkan duit untuk kehidupan selepas berumahtangga.
Baca juga: Ingat sekadar kad Hari Guru, cikgu tergamam jumpa mini gold bar tersorok dalam sampul merah