Angkara 20 biji mercun bola, remaja parah patah hidung dan pecah gegendang telinga

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang remaja lelaki mengalami kecederaan parah termasuk gegendang telinga pecah di kedua-dua belah dan patah hidung selepas menggunakan sekitar 20 biji mercun bola untuk menghasilkan bunyi kuat.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, pihaknya menerima laporan kira-kira pada pukul 6.17 petang semalam berhubung kejadian yang berlaku di Port Dickson, 12 Mac lalu itu.

Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian tersebut berlaku sekitar jam 11 malam, di Bandar Springhill, Lukut, Port Dickson melibatkan seorang mangsa lelaki berusia 17 tahun susulan terjadinya satu letupan kuat.

Kejadian itu dilaporkan berpunca daripada tindakan mangsa bersama rakan-rakannya yang menggunakan 20 biji mercun bola hingga mengakibatkan kecederaan lain termasuk di jari dan tapak tangan, lapor Kosmo.

“Mangsa bersama rakan-rakannya dipercayai telah menggunakan kira-kira 20 biji mercun jenis mercun bola dan mengubah suai bahan tersebut dengan menaburkan belerang ke dalam lubang tiang jaring sebelum memasukkan satu mercun bola bagi menghasilkan letupan yang lebih kuat.

“Semasa mangsa cuba menyalakan pemetik api, telah berlaku satu letupan kuat yang mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah, termasuk kecederaan pada jari dan tapak tangan, gegendang telinga pecah di kedua-dua belah, hidung patah serta luka-luka kecil di bahagian muka,” katanya memetik laporan Kosmo.

Mengulas lanjut, Alzafny memaklumkan bahawa mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Port Dickson dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Baca juga: Baru tahu rupanya penyanyi asal lagu ‘ku pohon restu ayah bonda’ asalnya dari kumpulan nasyid