Anwar bincang ketegangan Afghanistan-Pakistan, tekankan usaha gencatan senjata

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan dengan pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hasan Akhund, berhubung perkembangan terkini di rantau Asia Selatan.

Menurut beliau, perbincangan tersebut memberi tumpuan khusus kepada ketegangan yang berlaku antara Afghanistan dan Pakistan, termasuk usaha ke arah pelaksanaan gencatan senjata antara kedua-dua negara.

Dalam hantaran di media sosial Anwar memaklumkan Malaysia menyuarakan harapan agar segala usaha tersebut dapat diterjemahkan kepada kestabilan jangka panjang yang berteraskan nilai ihsan dan ukhuwah.

“Malaysia malah konsisten dalam mendukung segala usaha dan ikhtiar diplomasi, termasuk yang telah digerakkan negara sahabat seperti Arab Saudi, Qatar dan Türkiye.

“Dalam konteks yang sama, bantuan kemanusiaan terus diperkasa melalui kerjasama strategik bersama Global Peace Mission dan MERCY Malaysia yang antaranya mencakup pembaikan prasarana pendidikan, latihan kepakaran perubatan serta kesiapsiagaan bencana dan malapetaka.

“Justeru, segala inisiatif ini mencerminkan iltizam Malaysia dalam menyemarak solidariti di kalangan ummah secara tuntas dan berkesan,” katanya dalam hantaran di media sosial rasminya.

Dalam masa sama, Anwar turut menyampaikan ucapan Eid Mubarak sempena Aidilfitri kepada pemimpin serta seluruh rakyat Afghanistan sebagai tanda solidariti dan persahabatan antara negara.

Malaysia juga akan terus memainkan peranan aktif melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam menilai isu pengiktirafan pihak berkuasa semasa Afghanistan.

“Dalam kerangka yang lebih luas, Malaysia akan terus berperanan aktif melalui OIC dalam menilai isu pengiktirafan pihak berkuasa semasa Afghanistan (de facto) dengan penegasan terhadap prinsip keadilan, keterangkuman serta pemeliharaan hak wanita dan golongan minoriti, selain akses kepada pendidikan,” jelasnya.

Pendekatan Malaysia, menurut Anwar, kekal seimbang antara prinsip dan pragmatisme dalam usaha membina keyakinan, menyemarak harapan serta memperkukuh peranan negara sebagai penggerak keamanan dalam landskap global yang semakin mencabar.

Baca juga: Budi 95: Kuota subsidi dikurangkan kepada 200 liter sebulan- PM