Anwar gesa Parlimen bahas isu pendedahan Kertas Pandora

Oleh ARIF ATAN

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengusulkan supaya Dewan Rakyat membahaskan pendedahan Kertas Pandora, yang membabitkan fail kewangan sulit.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tersebut dalam kenyataan hari ini, usul telah dibuat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Saya menggesa agar Dewan Rakyat untuk segera membahaskan isu mendesak ini kerana ia telah menyebut beberapa nama besar dalam negara.

“Saya percaya perkara ini juga adalah berkenaan kepentingan orang ramai kerana ia turut menyebut nama-nama tokoh politik kerajaan dan juga pembangkang,” tegasnya dalam kenyataan media, hari ini.

Kertas Pandora merupakan pendedahan fail kewangan sulit sebesar 2.94 terabyte kepada Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) melibatkan 600 wartawan dari 150 organisasi media di 117 negara.

Pendedahan itu membabitkan transaksi golongan elit dan korup yang menyembunyikan aset bernilai beberapa trilion dolar AS di dalam pelbagai akaun luar pesisir.

Dua individu dari Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik dari Malaysia.

Antara nama yang disebut adalah Jho Low dan kaitannya dengan sebuah firma undang-undang Amerika Syarikat (AS) yang dilaporkan diguna untuk membina jaringan syarikat di Malaysia dan Hong Kong.

Syarikat itu didakwa pihak berkuasa AS digunakan untuk menyalurkan wang yang diseleweng daripada 1MDB.