Topik berkaitan calon Perdana Menteri Malaysia semakin hangat dibincangkan di platform media sosial walaupun tempoh penggal pentadbiran Kerajaan Madani masih berbaki setahun.
Antara calon yang sering ‘dipetik’ dalam perbincangan tersebut adalah Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mohktar sebagai pesaing kepada Perdana Menteri terkini, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun mampukah Naib Presiden Pas itu menewaskan Anwar Ibrahim terutama dalam meraih sokongan rakyat menerusi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 sebelum menerajui pentadbiran negara?
Gambaran mengenai perkara ini dapat dilihat menerusi tinjauan undian atau ‘poll’ yang dilakukan di platform media sosial Threads mengenai calon Perdana Menteri pada penggal hadapan.
Dalam tinjauan tersebut, nama Ahmad Samsuri disenaraikan bersama Anwar dan pemimpin lain termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta bekas Ketua Pemuda Umno iaitu Khairy Jamaluddin.
Selepas tempoh tinjauan tamat, Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan itu masih menjadi pilihan ramai sebagai Perdana Menteri untuk penggal seterusnya dengan 56 peratus undian.
Manakala Ahmad Samsuri pula menduduki tempat kedua selepas memperoleh sebanyak 33 peratus undian diikuti dengan Khairy Jamaluddin (10 peratus) dan Hamzah Zainuddin (satu peratus).

Difahamkan, rata-rata pengguna Threads berpandangan bahawa Ahmad Samsuri belum cukup berpengalaman dalam pentadbiran apatah lagi untuk memimpin negara dalam mendepani krisis global.
Mereka juga berkongsi pendapat bahawa Ahmad Samsuri seharusnya mengumpul pengalaman seperti memegang jawatan Menteri dalam kabinet terlebih dahulu sebelum menerajui pentadbiran negara.
Sekadar info, Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Anwar ibrahim masih memiliki tempoh penggal hingga November 2027 mengikut mandat penggal Parlimen semasa.
Baca juga: Betul ke Umno Negeri Sembilan bersedia jadi pembangkang? Ini respons Anwar Ibrahim