Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan surat rayuan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berhubung penolakan usul untuk membahas tentang Pandora Papers di Parlimen.
Menerusi surat yang dikongsi, Anwar memohon persetujuan Azhar di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat supaya usul di bawah Peraturan 18(1) dan (2) yang telah ditolak pada 6 Oktober, dibenar untuk dibahas.
“Untuk rekod, usul saya adalah mengenai:
“Bahawa Dewan yang bersidang pada hari ini membincangkan laporan Pandora Papers yang mendedahkan kemungkinan transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang negara, melibatkan beberapa tokoh politik dan ahli perniagaan Malaysia,” tulis surat bertarikh hari ini, 7 Oktober.
Dalam surat pemberitahu usul yang disebut, Anwar berkata pihaknya sudah menjelaskan bahawa usul itu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan.
“Saya mohon perkara ini diteliti dan dipertimbang oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan sesegera mungkin,” katanya lagi.
“Saya juga berpendapat bahawa perbahasan mengenai pendedahan Pandora Papers perlu disegerakan,” tambahnya dalam hantaran di Facebook hari ini.